Monthly Archives: February 2012

Suatu Hari di kedai mamak Batu 5 Jalan Kelang Lama

Salam ceria di hari Ahad.

Tempat kerja baru, tempat makan pun baru. Sudah berada di jalan Kelang Lama, mestilah makan dan minum di sini, takkanlah hendak makan sanggup pergi ke kedai Ibu di tempat kerja lama Segambut, mahupun berada padang letak kereta 3 Desa Park City Kepong? Bungkus makanan dari Keramat agak logik jugalah.

Kembali ke topik asal. Sudah menjadi tabiat di awal pagi daku sejak bekerja di sini, sampai lebih kurang jam 8 pagi, menuju ke kedai makan dan menempah makanan seperti kebiasaan. Airnya tidak banyak berubah, samada teh halia panas mahupun teh o’ limau suam.  Makan pula dalam kumpulan roti juga, samada roti canai 2 atau roti telur atau roti tampal. Jika sudah kenyang roti bakar satu set juga berada dalam senarai. Semua kecuali roti bakar mestilah banjir dhal sambal atau kari ikan.

Daku perhatikan banyak gerombolan manusia di sini. pekerja rapidKL. pekerja pub berbaju hitam, pekerja kejuteraan am, pekerja pejabat segak bergaya dan wangi sahaja. Tetapi daku tidak pedulikan semua itu. Daku duduk di meja kosong, membuat pesanan dan lebih banyak mendiamkan diri. Sambil mendiamkan diri, daku memasang telinga mendengar perbualan yang lain, agaknya apa yang di bincangkan.

Seorang tua baya daku lantang bersuara;

 

” ….. genarasi muda sekarang ini banyak generasi Y. “

” Dahlah malas nak bergerak, berat tulang nak tolong, tengok sahaja….. “

“Rela tengok sahaja, tangan letak belakang, pusing-pusing badan mendiamkan diri sahaja. “

 

Ni apa pula generasi Y, getus hatiku. apa kena mereka dengan generasi Y ini? Belum sempat daku ingin bermonolog dalaman lagi, rakan si tua ini membuka mulut seperti ingin memuntahkan beberapa ayat.

 

” Ish, saya ini tak berapa muda la encik,tapi saya bukan generasi Y, tapi  saya ini generasi X. “

 

“Saya tak malas macam generasi Y, kami generasi X rajin lagi buat kerja, takkan menung memikirkan nasib macam budak-budak latihan itu. “

 

Ah sudah, apa pulak generasi X , generasi Y ini. Macam seronok sahaja, bolehlah aku perlahan-lahan minum air ini, monolog dalaman daku lagi. Si tua dengan perlahan-lahan menyalakan sebatang rokok, menghisap rokok Dunhillnya dalam-dalam sambil menyembur kuat, memandang tepi mata pada pemuda itu.

 

“… kau lahir tahun berapa? Kalau era 80-an maknanya kau generasi X lah. “

 

Pemuda ini dengan mata membara semangatnya untuk membela remaja sebaya dengannya meluru-luru ayat ingin di bahas dengan orang tua terkutuk yang kelihatan seperti senior di tempat kerjanya.

 

“… Zaman kami dulu mana ada susu-susu untuk ibu mengandung ini encik. . “

“…. kami kecik-kecik dahulu pun tiada Internet-FB- semua kejadah. .’ 

“… Kami nak tahu kami bertanya, kami tidak faham sesuatu kami cuba buat. . . “

“…. sebab itulah kami berani buat berani tanggung. .”

 

 Si tua dengan muka berkerut cuba mengambil idea untuk hujah balasnya selepas ini;

“….. aku dahulu , zaman kami dahulu, zaman pop yeh-yeh, zaman mak bapak kamu semua main kahwin-kahwin kat bawah pokok tepi hutan dahulu.  . .”

Hendak seret ibu-bapa orang pula, daku mula merasakan pasti perdebatan mereka akan memasuki fasa merapu. Fasa semua  orang hendak menang, semau orang tidak mahu mengalah salah. Lalu dengan rakusnya daku bangun sehinggakan kerusi yang daku duduk sedikit terpelanting ke belakang dan menghasilkan aura bunyi besi bergesel. Perbualan mereka terhenti seketika dan mereka semua memandang daku. Daku membuat muka tidak bersalah dan berjalan terus ke kaunter pembayaran.

Tanpa menoleh ke belakang, daku terus berjalan menuju ke bangunan temapt daku bekerja dengan tersenyum sinis, kerana daku adalah generasi X!

Terima Kasih Kerana Membaca.

Melayu yang manja

Bismillahirohmanirahim dan Assalamualaikum.

Di dalam keadaan kacau-bilau keadaan politik negara yang saling menuding jari dan di sebalik ketidakseimbangan alam yang tidak terduga esok hari, daku merasakan bangga dan mengucapkan kesyukuran ke hadrat Illahi, kerana daku dilahir dan di besarkan sebagai seorang Islam, di bumi yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi.

Sepanjang daku bekerja, dari  hari pertama daku keluar dari rumah daku berniat untuk mencari duit secara halal, daku telah mengalami pelbagai situasi dan karenah manusia. Sungguhpun daku ini bukanlah manusia yang terbaik, tetapi daku juga mementingkan solat. Jadi di kesempatan yang ada, solat adalah separuh dari perkara yang merewang-rewang dalam minda sedar daku.

 Kadangkala daku terfikir juga dari kaca mata seorang bukan Islam, Umat Islam ini manja juga, mahukan sebuah bilik untuk kami bersembahyang. Sebuah bilik dengan lampu dan sekurang-kurangnya berhawa dingin ataupun paling busuk pun dengan kipas siling. Namun hanya sebuah bilik sebenarnya tidak mencukupi. Jika boleh mahukan dua; untuk lelaki dan perempuan, dengan kemudahan berdekatan tandas, selipar untuk kami pakai ke tandas, tikar atau sebarang lapik lantai, sejadah secukupnya, sebarang ilmu berkaitan islam di tampal di di dinding. Dan yang paling penting sekali masa untuk di izinkan untuk pergi solat, yang kadangkala di salahgunakan untuk berehat dan tidur petang.

Namun kualiti ruang solat samada mencukupi atau asas sahaja masih lagi menimbulkan spekulasi yang tidak berkesudahan. Pada akalnya sudah menyediakan tempat di kira bagus tetapi dengan pertambahan  jumlah umat Islam sendiri perlulah seiringan itu ditambahbaik kemudahan yang sedia ada. Bila tiada inginkan ruang solat, kecil tidak mengapa janji ada, tetapi bila ada merungut inginkan penambaikan.

Sebagai Islam di bumi di perintah Islam, mungkin akan menggunakan kuasa autonomi untuk mengatakan ini hak kami sebagai majoriti dan  kewujudan badan kerajaan untuk memastikan semua ini perlu ada. Tetapi jika kita sendiri adalah minoriti bagaimana pula? Sedangkan sebagai majoriti Islam sendiri diperkotak-katik dan di perkecilkan hukumnya oleh Muslim sendiri, bagaimana pula jika kita tidak di beri hak istimewa untuk menjadi Muslim?

Jika kita adalah insan kerdil tidak berpegaruh ingin meminta di sediakan ruang  solat dengan mereka yang tidak memahami Islam, seharusnya pihak pengurusan beragama Islam akan lebih berpengaruh dalam menyesalkan hal sebegini. Namun mengenangkan  kepayahan mereka untuk menyeimbangkan  anatara kerja dan agama, sukar bagi diri sendiri daku diakui.

Jika daku sendiri adalah di pihak pengurusan, ingin memperjuangkan hak bagi orang Islam ingin menunaikan solat, bagi daku agak serba salah jika daku ingin meneruskan perjuangan itu. Bukan daku mengatakan daku tidak mahu, tetapi realitinya begitu. Ruang solat yang di sediakan seringkali disalah gunakan. Jikapun di berikan sebuah ruang solat, pastikah kesemua Muslim itu menunaikan solat? Dan berdasarkan pengalaman sendiri, sekurang-kurangnya mereka yang selesai solat pasti mengambil beberapa minit untuk berbaring dan melelapkan mata.

Memang benar disunatkan melelapkan mata seketika selepas Zuhur sebelum Asar, namun oleh kerana kita bekerja dalam suasana 1Malaysia, dan pastinya bagi menjaga kredibiliti dan maruah melayu sendiri yang terkenal dengan kemalasan kami, ia perlu berpada-pada  dan jangan terlalu ketara sehingga kerja di tangguhkan. Bagi bangsa lain mungkin kerajinan mungkin satu faktor kejayaan mereka, suatu kriteria kejayaan yang agak ironi dengan kita.

Daku melihat isu ini dari pelbagai sudut, pekerja bawahan yang mahukan  segala-galanya mewah dalam menunaikan solat bersandarkan status majoriti dalam negara walaupun diketahui tidak semua Islam mahu solat, Pihak pengurusan yang mahu berlaku adil sesama pekerja, kebajikan di jaga dan keuntungan berganda dan mahukan sebarang percaturan keputusan dilakukan tidak memakan diri.

Daku sendiri ada pengalaman dan buah fikiran dalam membantu hal ini, tetapi kadangkala kita perlu tahu pendapat dan pandangan mahu diterima apatah lagi mahu didengari pihak berkaitan dalam menyelesaikan keperluan tidak terhad berdasarkan sumber yang terhad.

Terima Kasih Kerana Membaca.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.