Update terkini sepintas lalu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kali terakhir aku menaip di blog bersawang ini adalah pada bulan 4 tahun 2014, lebih dari 2 tahun aku biarkan blog aku bersawang. Aku seorang yang kejam, kalau blog ini adalah isteri daku, sudah lama di minta di ceraikan, dan isteri itu sudah berkahwin baru dan ada anak baru berusia 3 bulan.

Jadi banyak sudah berlaku pada diri daku dalam tempoh dua tahun ini, banyak perkara menarik, banyak juga cerita sedih, dan daku masih begini. Sebelum itu, daku terfikir juga, adakah masih releven lagi blog ini di masa kini? Hasil pencarian dengan pakcik google mentafsirkan blog ini ada dua kegunaan iaitu; sebagai info pelbagai sesebuah syarikat atau sekadar diari kepada penaip yang sekadar menaip apa tersirat dalam hati.

Baiklah kembali pada topik, di sekitar tahun 2014 itu, daku masih bekerja di sebuah syarikat makmal, yang berkait rapat dengan minyak dan gas. Memang seronok daku akui ketika itu. Gaya seperti orang penting, selalu bertelefon, bermesej, jumpa orang itu, tidak berhenti-henti menaip di komputer membuat report, boss besar kenal dan sebut-sebut nama daku, mesyuarat tidak sah tanpa daku dan paling penting aku banyak berjalan ke merata tempat, merata semenanjung Malaysia paling kerap ke Labuan, pulau Borneo.

Namun bagai diatur hidup daku, ada sahaja orang tidak puas hati dengan hasil kerja daku. Lebih dari 6 bulan bekerja, di anggap tidak cukup menghargai kerja daku, banyak bermain-main dan banyak mata yang inginkan jawatan daku, daku mendapat hadiah paling bermakna pada hari lahir daku, di tukarkan ke jawatan lain, bukan kembali kepada jawatan daku.

Naif sungguh daku pada masa itu, selesa ada meja sendiri  duduk dengan eksekutif lain dan kehulu-hilir dengan komputer riba peribadi, bagaikan sampah daku di halau keluar secara halus, kemudian di minta di kembalikan komputer riba, diminta ajar kerja daku kepada seorang untuk kononnya membantu, akhirnya seorang itu menggantikan daku, dan daku pula diberi pula jawatan yang orang tidak mahu, kerana berat tugasnya, kotor sampelnya, serta bekerja dengan orang yang tidak tenteram emosi.

Daku bukan maha hebat, bukan yang terbaik, ada sahaja kekhilafan, ada sahaja mempersoalkan Tuhan mengapa begini. Tetapi daku sering kali bersangka baik, tolong termampu orang lain dan  cepat sejuk hati. Bekerja lebih kurang 5 bulan membuat uji kaji BOD, aku sekali lagi di tukar ke jawatan lain jawatan paling di takuti, jawatan beku, untuk orang yang akan di berhentikan. Bermain asid pekat, bermain sampel tanah, sampel najis di bilik yang suhunya mampu mencairkan ketiak sendiri.

Namun paling daku terasa, adalah daku bekerja di bawah orang daku bawa ke syarikat makmal ini beberapa tahun sebelum. Tahap apakah kamu ingin hinakan diri ini? Kesumat sungguh dendam tehadap daku? Benci mendalam amat-amat? Tapi kamu juga lupa janji manismu, ingin bawa ke makmal petrol di tengah laut Myanmar? Ingin tolong sesama bangsa orang melayu? Segala puji dan kata dusta, juga kamu dustai, dan kamu kata daku pula?

Keputusan nekad daku untuk berhenti  kerja sebelum mendapat kerja baru benar-benar adalah keputusan daku sebagai protes terhadap mereka. 5 tahun bekerja bagai tiada apa. Selepas raya tahun 2015, sekitar bulan 8, surat berhenti aku kirimkan. Daku tahu apa yang bakal daku hadapi, tetapi dari menghadapi hari mendatang muka dan jenayah mereka, biarlah daku hargai jiwa daku dari di cemari dendam mereka.

Sejak dari awal tahun daku tidak berhenti-henti mencari kerja. Jobstreet, FB, seminar kerjaya, forum, rakan-rakan lama semuanya daku cari dan usaha. Hampir 2 bulan, daku di hubungi sorang lelaki berbangsa Cina melalui Whatsapp, untuk berkerja sebagai QC Officer kilang air mineral nun jauh di Batang Kali, Selangor. Adakah daku terlalu terdesak untuk bekerja sehingga sanggup setuju?

Bersambung kerana tulang belakang Sudah penat.

Terima Kasih kerana Membaca.

 

Advertisements

Baca Dahulu Kemudian Jawab

Salam di bulan April.

Jadi semasa daku bekerja di tempat kerja sebelum ini, daku pernah menyertai sebuah sesi “Team Building” atau menurut Google Translate pembinaan berpasukan. Agak seronok dengan aktiviti fizikal dan mental, kerjasama dan masa bersama rakan dari jabatan lain.

Kemudian daku tertarik dengan sebuah sub-kursus yang diberikan, yang terakhir sebenarnya. Setiap dari kami di berikan sehelai kertas A4, dengan beberapa arahan di nomborkan. Di sertakan juga sehelai kertas kajang bergaris kosong tiada sepatah perkataan mahupun huruf.

Kemudian kami di ingatkan, seperti arahan biasa di zaman persekolahan dahulu kala. Baca setiap arahan sehingga habis. Kami yang kepenatan dengan aktiviti seharian dari awal pagi kepingin sesi habis segera supaya kami boleh balik ke rumah.

Jadi ada lebi kurang 30 arahan tertulis di atas kertas itu. Yang daku masih ingat arahan pertama tulis nama penuh di bucu atas kanan dengan jelas. Soalan kedua dan seterusnya memerlukan penulisan dan pengubahsuaian pada kertas kajang yang di berikan. Masalah utama adalah masa yang di berikan adalah selama 2 minit sahaja.

Demi mengejar akitiviti siap dilakukan dalam masa 2 minit, kami semua baca arahan dan terus sahaja melaksanakan arahan. Dari rentak tenang pada awal 30 saat, sebelum makin laju pada minit pertama, keringat mula mengalir di dahi memasuki 30 saat ketiga dan akhirnya di akhiri dengan semua peserta melakukan jurus yang sama di minit kedua; balingan pensel pensel ke atas meja dengan dengusan kecewa.

Jadi kami semua bersungut dan meluahkan kekecewaan kepada fasilitator. Mana cukup masa melakukan semua aktiviti dalam masa 2 minit itu? Arahan memerlukan aktiviti berlainan memakan masa yang lebih dan sekurang-kurangnya memerlukan 15 minit.

Dengan senyuman manis dan tenang beliau menjawab semua persoalan dengan satu soalan. “Siapa berjaya melakukan aktiviti yang terakhir?” Semua menggeleng kepala sambil berdiri mememekkan muka tidak puas hati kecuali seorang. Daku namakan orang itu sebagai kak Ina. Juga dengan senyuman kasih ibu beliau mengangkat tangan.

Fasilitator itu terus berkata; “Baiklah Ina, boleh kamu baca arahan terakhir kepada kami? Dengan tenang Kak Ina terus membaca; “Arahan ke-30: Setelah selesai membaca semua arahan, abaikan semua arahan kecuali arahan pertama sahaja.”

Kak Ina terus berbicara lagi lebih kurang begini maksudnya; arahan sebelum arahan bernombor dah tulis, baca semua arahan sehingga habis, fahamkan arahan utama, susun dalam otak ayat penting dalam arahan dan kalau boleh ringkaskan arahan.

Bermaksud arahan satu dan lakukan itu sahaja. Patutlah, sempat aku mengerling kepada kak Ina semasa mula membaca arahan dan dia senyum sahaja. Ketika kami berbicara semasa mahu balik, kak Ina berkata dia pernah melakukan aktiviti ini sebelum ini dan moral di sebalik aktivti ini adalah sama ada kita tergopoh-gapah atau tenang dalam membuat keputusan?

Dengan pantas daku mengangguk sebagai tanda setuju dengan kenyataan kak Ina itu. Dan kini setelah hampir 6 tahun akitiviti itu berakhir, daku masih bersetuju dengan moral aktiviti itu. Dan ia semakin terbukti dengan kemudahan e-mail daku yang sering daku gunakan.

Berbaris ayat yang aku karangkan, tidak semua faham dengan arahan dalam e-mail daku. Daku telah meringkaskan ayat seboleh mungkin dan memeberi arahan paling banyak pun 3 sahaja. Masih ada yang tidak faham, dan selalunya arahan terakhir tidak di laksanakan.

Daku seringkali teringatkan sesi pembinaan berpasukan itu dan betapa pentingnya ia akan memberi impak kepada mentaliti seseorang. Tergopoh-gapah atau tenang. Yang mana satu akan memberi lebih banyak penyelesaian?

 

Terima Kasih Kerana Membaca.

Seseorang yang layak

Salam di bulan februari tahun 2014, cuti paling lama yang daku rasai sejak bertukar kerja ini. Kali ini daku ingin bercerita mengenai situasi yang daku lalui dalam seminggu dua ini.

Jadi apabila kita dilanda krisis, tidak kira apalah situasinya pun, kita akan memerlukan seorang rakan atau manusia, untuk meluah perasaan, untuk bercerita dari pihak kita, untuk memberitahu sebab munasabab tindakan dan percakapan kita, sehingga menimbulkan krisis.

Seseorang atau manusia itu seharusnya mampu menyimpan rahsia, memahami keadaan dan situasi, serta mampu memberi pendapat dan cadangan mengikut keadaan dan situasi kita. Malangnya tidak ramai mampu berbuat sebegitu, mungkin tidak mampu menyimpan beberapa lagi rahsia tambahan, dengan masalah dan beban sendiri.

Jadi seseorang itu, mungkin tidak perlu menjadi begitu sempurna, mungkin hanya menjadi pendengar yang bagus dan setia, yang boleh fokus dan memberi masa secukupnya terhadap kita. Tidak perlu memberi pendapat dan cadangan, dan jika boleh pun di anggap satu bonus. Dengan ciri-ciri sebegitu pun sebenarnya sudah cukup, tetapi tidak ramai boleh sebegitu.

Keadaan lebih menyakitkan hati apabila orang yang kita percaya dan bercerita semua masalah, dengan senang hatinya dia menceritakan kepada orang yang mengumpat dan bercakap belakang, segala yang kita tidak puas hati dan geram. Sungguh, rasa hilang segala kepercayaan dan terima kasih kerana sudi mendengar permasalahan kita.

Situasi ini juga mungkin berlanjutan sehingga sudah kahwin, apabila orang yang kita kahwini itu tidak seperti yang kita impikan, tidak sekadar menjadi pendengar yang setia, kita mahukan teman sehidup semati ini memberikan pendapat dan cadangan sewajarnya, yang mampu memberi penyelesaian tidak membebankan dalam jangka masa yang panjang.

Mungkin sebab itu daku masih tidak lagi berkahwin. Mungkin orang akan sedap berkata daku memilih dalam soal jodoh, daku tidak sesempurna Sulaiman sedangkan daku mahukan ratu Balqis. Tetapi dengan situasi hidup daku, keluarga daku dan diri daku, daku tidak sebegitu berserah dalam memilih jodoh.

Daku telah melihat beberapa contoh orang yang daku harapkan segala keluh-kesah, benda paling senang daku pinta; simpan rahsia daku, itupun mereka tidak mampu persiapkan, memang daku akan lebih memilih orang yang daku percayakan untuk masa hadapan.

Memang daku sendiri bukan Tuhan, untuk menjatuhkan hukum terhadap siapa baik dan siapa jahat, tetapi yang pastinya daku berhak untuk memilih siapa yang daku harus percayakan, dan siapa yang layak untuk menerima cerita dan luahan diri daku, dan pastinya blog ini adalah salah satunya, tidak sangkal lagi paling banyak menerima ketukan demi ketukan luahan di papan kekunci ini.

Terima Kasih Kerana Membaca.

Semua ingin menjadi Juri.

Salam hari ahad yang berbahagia hendaknya. Kali ini daku menaip dari ketenangan bandar pesisir pantai pasir gudang. Hampir seminggu menunggu dan mengejar pemandu lori minyak petrol.

Jadi dalam hampir seminggu daku berada di bumi darul takzim ini, daku banyak menghabiskan masa dengan mencari tempat makan, tempat minum dan tempat tumpuan ramai di kala malam mula menjelma. Dan tidak dinafikan kawasan johor bahru mempunyai tarikan tersendiri, keunikannya juga dan pastikan makanan yang sedap.

Daku tidak begitu cerewet dalam memilih makanan, cukuplah sekadar bersih dan keseimbangan di antara rasa masam masin manis dan pahit. Ada juga rakan daku yang lain mempunyai pendapat berbeza mengenai makanan atau minuman yang sedap. Dan tanpa ditanya terus sahaja menjadi pengkritik tidak bertauliah. Apa yang lebih, ada yang kurang, bahagian mana yang sedap, bahagian mana yang perlu di perbaiki.

Kadangkala ada juga faktor lain yang kononnya mempengaruhi kualiti makanan yang di hidang dan di jual; kedai ramai orang, kedai ramai penjawat awam yang melepak, lauk melaut melebihi 30 jenis, ada ikan bakar, penjual atau tukang masak seorang makcik tua yang tidak banyak cakap atau paling kurang sekali tukang ambil pesanan adalah anak dara berseluar ketat melekat warna blok & baju ketat tersembul sana-sini.

Kadangkala kelakar juga kerana sebagai pelajar jurusan teknologi makanan, daku sendiri tidak berani menjatuhkan suatu makanan itu sedap atau perlu diperbaiki, juri-juri bebas di luar sana yang lebih bersemangat mengkritik secara terbuka pendapat mereka. Faktor yang tidak masuk akal juga di di utarakan, tidak langsung kena mengena dengan kualiti makanan yang di perhidangkan.

Mungkin terpengaruh dengan teknik dan gaya seorang pengkritik di media massa, maka di rasakan dia juga layak dan mampu memberi benda yang sama. Yang lebih kelakar lagi idea dan kritikan yang diberikan hanyalah ikutan dan di kitar semula supaya nampak ciri-ciri pengkritik tetapi hanyalah ikut-ikutan.

Di pihak penyedia makanan pula tidak kurangnya mengambil kesempatan dengan melebihkan hiasan dan teknik makanan sehingga mempengaruhi kualiti makanan. Ini semua menyimpang dari sebab dan keutamaan makanan  yang sepatutnya sedap dan mengenyangkan untuk di makan. Bukan hanya cantik untuk di makan, sedap seharusnya untuk di makan.

Paling daku tidak tahan adalah ekspresi muka bagai tidak beremosi semasa memberi kritikan tidak dipinta. Fizikal tukang ambil pesanan di ambil kira, apa yang di tulis juga dipersoalkan, pesanan sampai awal di persoalkan, sampai lambat lagilah berbakul-bakul hinaan dan cacian di kirimkan.

Dewasa ini semua orang menjadi seseorang, semua orang ingin pamerkan bakat yang ada, semua orang ingin meniru bakat seseorang, semua orang ingin menjadi juri tidak bertauliah, sedangkan ilmu tidak seberapa, gaya sahaja yang ada.

Terima Kasih Kerana Membaca.

Sebelum hari terakhir selepas hantar surat berhenti

Salam minggu di bulan Januari yang banyak cuti. Daku telah melepasi hujung minggu paling lama di rasakan sepanjang hidup daku. Membuat keputusan pekerjaan yang pastinya member suatu impak dalam kehidupan daku.

Daku telah beberapa kali mendapat peluang untuk berada di pihak gaji besar tekanan otak dan yang paling baru sekali adalah beberapa minggu ini. Daku berfikir dan berfikir mengenai pro dan con, baik dan buruk, masa hadapan dan masa belakang, prospek dan sebagainya.

Jadi daku berada di situasi menang-menang sebenarnya. Ada kerja baru menanti daku untuk masa hadapan dan daku mempunyai prospek untuk mendapat gaji dan pengalaman di jabatan baru daku ini. Mana-mana pun daku akan gembira, Cuma seperti kini, sentiasa tertanya-tanya bagaimana jika daku bekerja di syarikat sana.

Dan daku telah menghantar surat berhenti seminggu yang lalu, sebelum saat itu daku telah cuba untuk bertolak ansur mengenai kerja daku. Memanglah daku terus sahaja menyebut satu amaun gaji dan tindakan itu telah di balas dengan langsung tidak akan berkrompomi khasnya berkaitan gaji.

Jadi setelah tiada persetujuan di persetujui, daku seterusnya tenang sahaja mengira saat daku akan bekerja di tempat baru. Ianya situasi menang-menang dan daku tidak rugi apa-apa. Memang diketahui syarikat adalah syarikat, hanya beberapa pekerja akan menjadi tonggak kekuatan syarikat dan selebihnya pekerja boleh di tukar ganti beberapa kali tanpa banyak mempengaruhi syarikat.

Dalam itu daku juga ingin melihat sejauh mana syarikat inginkan daku. Sejauh mana syarikat sanggup membayar daku dan khidmat daku. Dan berapakah nilai daku kepada syarikat. Ia adalah satu pertaruhan sebenarnya, kerana daku sendiri tidak pasti adakah sesiapa yang masih memerlukan daku, adakah syarikat menurunkan ego mereka dan duduk berbincang dengan daku.

Baru sebulan tukar jabatan, baru beberapa pengalaman dan tiada kompetensi untuk minta gaji tinggi. Dan di sebalik semua itu daku berjaya. Mungkin bukan dengan usaha diri sendiri tetapi lebih kepada berserah kepadaNya untuk menentukan masa hadapan daku.

Dan mungkin benar jika ini memang rezeki daku, ia tidak akan lari ke mana. Dan jika ini memang bukan rezeki daku, mungkin Allah swt akan mengaturkan yang lebih baik untuk diri daku. Memang ada sesi duduk semeja yang menjengkelkan, dengan tekanan dari beberapa orang pihak pengurusan, penceritaan mengenai syarikat, prospek dan harapan tetapi seperti daku sanggup mendengar 3 hari cerita mengenai Multi-level-marketing demi hidup seperti orang kaya, apalah sangat mendengar untuk sejam.

Dan kini harapnya daku membuat keputusan yang tepat demi masa hadapan daku. Di umur memasuki 28 daku rasakan agak terlewat untuk tersedar dari berfikir untuk mengumpul harta 3 serangkai; kereta, rumah dan isteri.

Terima Kasih Kerana Membaca.

Syarikat Besar Cakap besar

Salam di tahun baru 2014.

Baru minggu ini daku agak lega sedikit, setelah lebih sebulan daku menjelajah seluruh semenanjung Malaysia dan Borneo. Dari Tanjung Gelang di Kuantan ke Tanjung Bin dan Tanjung Piai di Pontian, Di Johor Bahru semalaman dan Seremban tidak terkecuali. Daku jelajahi lagi Pulau bebas cukai Labuan dan Bandar pesisir pantai Sandakan hampir dua minggu.

Ini semua adalah kerana sifat diri daku yang sukakan pengalaman baru dan daku agak terkena balik kali ini. Memilih bidang Pemerhatian Kimia (Chemical Monitoring ) sebagai bidang baru, daku perlu menjelajah ke semua depot minyak milik sebuah syarikat Minyak dan Gas (Oil & Gas) terkemuka dunia untuk pemerhatian bahan kimia tertentu, selain mengambil sampel di beberapa cawangan syarikat perbankan terkenal asia dan dunia.

Dan sebenarnya sewaktu daku di tawarkan peluang ke jawatan ini, daku mendapat rezeki untuk satu jawatan di sebuah francais makanan beribu pejabat di Kuala Lumpur. Jawatan yang di berikan setingkat lebih tinggi daripada sekarang, peluang untuk daku memajukan diri di bidang daku yang lebih berilmu.

Di sebelah pihak, syarikat ini yang daku sedang bekerja boleh dikatakan sudah lama bertapak, ada beberapa manfaat walaupun tidak terbaik dan kebebasan untuk bekerja. Dan di tempat baru yang daku pasti agak terbatas  manfaat yang ada, selain pelbagai keadaan dan situasi mengenai apa yang menanti daku.

Daku bolehkah mengatakan diriku agak kompeten untuk daku memilih tempat kerja. Walaupun daku tidak benar-benar di beri peluang untuk daku mempamerkan kebolehan daku, bagi daku inilah dia peluang yang daku cari.

Daku agak terharu kerana di beri peluang untuk mengetuai kumpulan kecil manusia membuat kerja, sedangkan daku mengetuai diri sendiri pun tidak berapa betul lagi.

Syarikat boleh terus membuli secara tidak langsung pekerja mereka dengan suasana kerja yang serabut, manfaat yang tidak seberapa, gaji di bawah tahap selesa, namun bonus itu tidak boleh di permainkan. Memang benar bonus itu bergantung kepada keuntungan syarikat, tetapi itulah satu-satunya hak setiap pekerja berdedikasi syarikat yang tidak boleh di cabuli.

Hal lain syarikat boleh cakap terpulang pada kamu untuk selesaikan tetapi bonus inilah masanya pekerja boleh cakap syarikat selesaikan jika tidak mahu pekerja selesai di sini.

Bagi daku bonus adalah satu bentuk penyelesaian ringkas untuk seorang pekerja menyelesaikan penggunaan wang di luar perbelanjaan biasa. Di mana wang di perlukan dalam jumlah yang besar tetapi penggunaan berterusan dan ia diperlukan tahun hadapannya.

Sungguhpun daku tidak kisah mengenai gaji dan bonus sebelum ini, namun mungkin untuk azam tahun baru ini, sudah sampai masanya daku membuat sesuatu untuk masa hadapan daku yang pastinya berakar umbikan wang dan ringgit.

Daku terfikirkan syarikat daku bekerja ini, usai banyak di laburkan untuk daku meneroka bidang baru ini, kecewa terbuku di hati kerana keputusan berhenti daku, namun tidak mahu membelanjakan lebih menyimpan daku meneruskan kerja amanah daku. Sudahlah tiada bonus untuk mengurangkan beban kami semua, kenaikan gaji setanding gerai makan tomyam tepi jalan.

Syarikat boleh bercakap besar mengenai betapa gahnya syarikat mereka kukuh bertahan tahun demi tahun, tetapi pekerja itu sendiri lebih mengetahui sejauh mana gahnya mereka menjaga nama mereka.

Orang melihat daku agak selesa setelah tukar jabatan, juga terkejut kerana daku berhenti, namun sama seperti di salah sebuah syarikat daku bekerja, bonus dan insentif perlu di jaga dan daku sanggup berhenti dari  bekerja di syarikat besar yang bercakap besar.

 Terima Kasih Kerana Membaca.

Perangai Begitu Elok di Ikuti

Salam seminggu selepas tarikh lahir daku.

Agak kesibukan juga daku bulan ini selepas di tukarkan ke jabatan baru. Jabatan baru bermakna kenal orang baru, suasana baru, cara kerja baru dan pendek kata semua barulah.

Jadi dengan kesempatan di tempat baru ini daku belajar semula, atau lebih banyak belajar semula. Berjumpa orang baru, daku seperti biasa banyak menganalisis sifat dan perwatakan orang lain. Cuba memahami dan mengerti faktor yang mempengaruhi perwatakan dan tindakan orang itu.

Dan apabila kita mula bergaul dan memasuki di kalangan pihak pengurusan, kerja kita yang biasa di lakukan akan menjadi perkara kedua kita perlu risaukan. Masalah akan menjadi lebih rumit lagi apabila kita ada anak buah dan pekerja bawahan perlu di jaga.

Sudahlah di bebani dengan kerja tidak berkesudahan, perlu menjawab pertanyaan spontan dari pihak atasan, e-mel dan segala bentuk perhubungan bertanyakan itu dan ini, kini di tambah pula kerenah pekerja bawahan. Apabila mereka tidak gembira kita akan terkesan juga dek prestasi kerja mereka tidak memberangsangkan.

Jadi mahu tidak mahu, kita perlu pertingkatkan diri kita dengan perwatakan serta sifat yang tidak ada sebelum ini, kemudian tiba-tiba perlu di pamerkan. Perwatakan yang ada pada pihak pengurusan kita dahulu yang kita tidak suka, kini perlahan-perlahan kita ada.

Lebih kepada positif, sifat yang kita belajar secara langsung atau tidak ini sepatutnya membawa kepada perubahan besar dalam hidup kita. Terlalu memikirkan perasaan orang lain tetapi tidak kepada diri sendiri pastinya memakan diri sendiri dari dalam.

Kita biasa melihat teknik komunikasi diantara pihak pengurusan dengan diri kita, ada yang bercakap lembut, sambil memujuk, ada yang memaksa, secara tegas, ada pula bersikap santai, sambil berborak bagaikan rakan yang kenal lama. Terpulang kepada kita mahukan teknik komunikasi yang terbaik untuk diri kita.

Ada juga kita terpaksa pada mula kemudian menjadi selesa untuk berterusan begitu. Kita bermula untuk memanipulasi rakan kita yang lemah, menggunakan ketidaktegasan diri mereka untuk melakukan kerja kita. Kemudian setelah kita mula tahu teknik manipulasi lain, semua orang kita akan mula pergunakan demi kepentingan sendiri atau bersama.

Sejujurnya jika kita bekerja sendirian, kita tidak menganggu orang lain, sifat dan perwatakan diri kita tidak akan banyak berubah. Namun apabila kita perlu bekerja dan bekerjasama dengan orang lain, kita perlu perwatakan yang lebih khusus dalam menangani orang lain.

Adakalanya sifat yang kita belajar dari orang lain juga bersifat negatif kepada pandangan orang lain, namun demi tidak memberi serabut kepada diri sendiri, kita perlu membuat keputusan, walaupun keputusan itu tidak memberi kepuasan kepada orang lain.

Sebagai contoh, daku ada terambil satu sifat ini dari orang lain. Daku tidak atau jarang memulakan perbualan. Orang itu jika ingin bekerja sama dengan daku perlu memulakan perbualan atau mernedah diri dengan daku. Dan setelah daku berpuas hati, daku sendiri akan lebih ramah dengan orang itu.

Mungkin pada pandangan orang yang daku ini agak sombong dan menjaga status dan pastinya tidak semua orang akan begitu merendah diri kepada orang lain, tetapi bagi daku, daku ingin melihat kesungguhan orang itu serta sepatutunya kita perlu tahu perlu memberi untuk menerima.

Daku ini sebenarnya orang yang ringkas sahaja. Tidak mahu merumitkan keadaan dan sebolehnya mahukan keadaan semua orang senang dan semua orang menang. Namun kerana mahu majukan diri, mahukan yang terbaik untuk diriku, daku perlukan permbaharuan. Pembaharuan yang membawa kebaikan.

Terima Kasih Kerana Membaca.