Category Archives: Islams my religion

Ungkit-mengungkit. . . lalalala. .

Hidup ini, tidak perlulah hendak berkira sangat. Pertolongan yang di hulurkan seharusnya ikhlas tanpa setitik pun terniat di dalam hati untuk mengharapkan balasan setimpal. 

Begitulah antara falsafah yang daku pegang, satu antara beribu kebaikan yang aku cuba sembunyikan. Jikalau kebaikan di pamerkan akan timbullah riak dan takabur dalam diri. Bagi daku dalam bekerja lebih banyak daku tumpukan bantuan dan pertolongan. 

Di dalam bekerja segala hal halal dan haram akan mudah jatuh hukum, tidak jujur dalam bekerja, terlalu bekira dalam waktu bekerja. Dan daku seboleh-bolehnya amat menitikberatkan hal ini.

Tiada istilah simpan kerja untuk esok, sambung kerja kita pada orang lain, menyusahkan orang lain untuk kesenangan kita dan paling penting sekali menyusahkan diri sendiri dan orang lain dengan perkara yang tidak penting.

Dan apabila daku telah menolong orang lain tetapi seperti jasa daku tidak di ingati malah paling hina sekali tidak daku pula di persalahkan, sungguh kecewa daku. Bukanlah daku beriya -iya sangat mahukan jasa di ingati, tetapi hulurkanlah bantuan, jikalpun daku tiada jasa kepada mereka, berdosa besarkah menghulurkan bantuan. 

Jasa tidak semestinya di balas, apatah lagi dikenang sepanjang hayat, namun jika ada peluang, apakah salahnya di balas dan tidak di bawa sampai ke mati? Bantuan seharusnya di hulurkan selagi termampu, sebagai cara untuk kita mempamerkan jutaan terima kasih atas bantuan dahulu.

Dan tindakan daku pabila jasa daku tidak di kenang senang sahaja, tiada lagi jasa daku di ditaburkan, harus ada berkira dalam memberi pertolongan, monolog dalaman yang membahaskan ungkit-mengungkit samada perlu membantu mereka, Kadangkala pabila hati sedang bengang membara memang tidaklah namun pabila hati sedang sejuk, cepat sahaja hati ini berbisik tidak perlu berkira sangat. 

Namun seringkali daku merasa menyesal di kemudian hari kerana seharusnya daku tahu tiada siapa yang menghargai daku, bahkan kebaikan daku menjadi faktor daku di gulingkan dari kedudukan daku kini. Seringkali baik tidak kena masa,  tidak bertempat dan salah orang.

Hati ini  terdetik untuk lebih kejam, supaya diri daku tidak menjadi mangsa orang lain, tetapi seringkali sahaja terdetik untuk lebih berbuat baik berbanding jahat. Ungkit mengungkit seringkali menjadi perbahasan pertama namun sering jua  kalah dengan kejujuran dalam diri daku yang lebih mengetahui daku akan tetap di pijak di hujung cerita. 

Terima Kasih Kerana Membaca.

Melayu yang manja

Bismillahirohmanirahim dan Assalamualaikum.

Di dalam keadaan kacau-bilau keadaan politik negara yang saling menuding jari dan di sebalik ketidakseimbangan alam yang tidak terduga esok hari, daku merasakan bangga dan mengucapkan kesyukuran ke hadrat Illahi, kerana daku dilahir dan di besarkan sebagai seorang Islam, di bumi yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi.

Sepanjang daku bekerja, dari  hari pertama daku keluar dari rumah daku berniat untuk mencari duit secara halal, daku telah mengalami pelbagai situasi dan karenah manusia. Sungguhpun daku ini bukanlah manusia yang terbaik, tetapi daku juga mementingkan solat. Jadi di kesempatan yang ada, solat adalah separuh dari perkara yang merewang-rewang dalam minda sedar daku.

 Kadangkala daku terfikir juga dari kaca mata seorang bukan Islam, Umat Islam ini manja juga, mahukan sebuah bilik untuk kami bersembahyang. Sebuah bilik dengan lampu dan sekurang-kurangnya berhawa dingin ataupun paling busuk pun dengan kipas siling. Namun hanya sebuah bilik sebenarnya tidak mencukupi. Jika boleh mahukan dua; untuk lelaki dan perempuan, dengan kemudahan berdekatan tandas, selipar untuk kami pakai ke tandas, tikar atau sebarang lapik lantai, sejadah secukupnya, sebarang ilmu berkaitan islam di tampal di di dinding. Dan yang paling penting sekali masa untuk di izinkan untuk pergi solat, yang kadangkala di salahgunakan untuk berehat dan tidur petang.

Namun kualiti ruang solat samada mencukupi atau asas sahaja masih lagi menimbulkan spekulasi yang tidak berkesudahan. Pada akalnya sudah menyediakan tempat di kira bagus tetapi dengan pertambahan  jumlah umat Islam sendiri perlulah seiringan itu ditambahbaik kemudahan yang sedia ada. Bila tiada inginkan ruang solat, kecil tidak mengapa janji ada, tetapi bila ada merungut inginkan penambaikan.

Sebagai Islam di bumi di perintah Islam, mungkin akan menggunakan kuasa autonomi untuk mengatakan ini hak kami sebagai majoriti dan  kewujudan badan kerajaan untuk memastikan semua ini perlu ada. Tetapi jika kita sendiri adalah minoriti bagaimana pula? Sedangkan sebagai majoriti Islam sendiri diperkotak-katik dan di perkecilkan hukumnya oleh Muslim sendiri, bagaimana pula jika kita tidak di beri hak istimewa untuk menjadi Muslim?

Jika kita adalah insan kerdil tidak berpegaruh ingin meminta di sediakan ruang  solat dengan mereka yang tidak memahami Islam, seharusnya pihak pengurusan beragama Islam akan lebih berpengaruh dalam menyesalkan hal sebegini. Namun mengenangkan  kepayahan mereka untuk menyeimbangkan  anatara kerja dan agama, sukar bagi diri sendiri daku diakui.

Jika daku sendiri adalah di pihak pengurusan, ingin memperjuangkan hak bagi orang Islam ingin menunaikan solat, bagi daku agak serba salah jika daku ingin meneruskan perjuangan itu. Bukan daku mengatakan daku tidak mahu, tetapi realitinya begitu. Ruang solat yang di sediakan seringkali disalah gunakan. Jikapun di berikan sebuah ruang solat, pastikah kesemua Muslim itu menunaikan solat? Dan berdasarkan pengalaman sendiri, sekurang-kurangnya mereka yang selesai solat pasti mengambil beberapa minit untuk berbaring dan melelapkan mata.

Memang benar disunatkan melelapkan mata seketika selepas Zuhur sebelum Asar, namun oleh kerana kita bekerja dalam suasana 1Malaysia, dan pastinya bagi menjaga kredibiliti dan maruah melayu sendiri yang terkenal dengan kemalasan kami, ia perlu berpada-pada  dan jangan terlalu ketara sehingga kerja di tangguhkan. Bagi bangsa lain mungkin kerajinan mungkin satu faktor kejayaan mereka, suatu kriteria kejayaan yang agak ironi dengan kita.

Daku melihat isu ini dari pelbagai sudut, pekerja bawahan yang mahukan  segala-galanya mewah dalam menunaikan solat bersandarkan status majoriti dalam negara walaupun diketahui tidak semua Islam mahu solat, Pihak pengurusan yang mahu berlaku adil sesama pekerja, kebajikan di jaga dan keuntungan berganda dan mahukan sebarang percaturan keputusan dilakukan tidak memakan diri.

Daku sendiri ada pengalaman dan buah fikiran dalam membantu hal ini, tetapi kadangkala kita perlu tahu pendapat dan pandangan mahu diterima apatah lagi mahu didengari pihak berkaitan dalam menyelesaikan keperluan tidak terhad berdasarkan sumber yang terhad.

Terima Kasih Kerana Membaca.

Babi!, Babi!, Babi!

Salam hari Jumaat, pertama-pertamanya daku bukan mencarut, keduanya ini adalah posting terpendek dalam blog daku. Dan dengan dua sebab itu, daku ingin memulakan posting daku ini.

Satu ayat, tetapi amat berlainan maksud dalam tiga bahasa. Bahasa pertama adalah dari sudut bahasa melayu. Mengikut kamus DBP, Babi itu merujuk kepada sejenis binatang mamalia yg berbadan gemuk, berkaki pendek, berkulit tebal, dan bermuncung (diharamkan bagi orang Islam); dan juga kata makian yg digunakan kerana marah. Sumber.

Pengalaman kerja daku terkini pula memberi daku satu kefahaman mengenai ayat babi ini mengikut dari bahasa Bangladesh, merujuk kepada kakak ipar. Bagi yang tidak mengetahui, negara-negara Asia selatan (IndiaNepalBhutanBangladeshSri Lanka dan Kepulauan Maldives) banyak  menggunakan bahasa Hindi selain bahasa asal mereka.sila jangan salah erti jika kaum-kaum ketiak hangit ini ingin merujuk kakak ipar mereka sebagai babi, ini bukan mencarut. Ayat lain yang biasa di gunakan adalah seperti baia(adik), bai (abang), bun (kakak) dan affa (makcik).

Bagi dialek bahasa China darerah Kanton pula, babi merujuk kepada orang yang sombong. Mungkin ayat ini akan lebih terserlah apabila dua orang cina bergosip sesama sendiri mengenai seorang baru yang tidak pandai menyesuaikan diri lagi,  Mungkin juga orang yang di gosipkan itu terang-terangan sombong. Mungkin juga. Uniknya bagi mereka yang menggunakan dialek Kantonis dan tinggal di Malaysia, selain dari mengatakan urang itu sombong, boleh juga dikira pakej sebagai makian yang digunakan kerana marah.

Jadi selepas ini pabila kedengaran ayat ini di sebutkan, lihat dulu sumber manusia yang menyebutkan. Pastikan kita sentiasa berfikiran  positif  dan juga tidak sekali-kali meyangka orang memaki kita.

TerimaKasih Kerana Membaca.

Kubur Keramat dan Kubur Ampang!!

Salam Syawal yang berkunjung kembali.

Bagi mereka yang tidak tahu, Kubur Taman Keramat bukanlah kubur yang menempatkan jasad-jasad orang yang keramat (orang yg berperangai baik, ikhlas dan jujur serta tidak suka melakukan sesuatu yg menyakiti hati orang) kamus DBP. Sesiapa sahaja yang memegang kad pengenalan diri beralamatkan Taman Sri Keramat, secara automatik akan berpeluang mendapat tempat di Kubur Keramat, seperti daku dan arwah ayah daku.

Kubur Ampang yang terletak di Jalan Ampang, berhampiran dengan KLCC dan terletak betul-betul di belakang Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Lai Meng. Setahu daku kubur ini antara yang paling lama di dalam Kuala Lumpur, sekitar tahun 60-an. Daku berkata begitu kerana salah seorang dari penghuni kubur itu adalah Datuk di sebelah arwah Ayah daku.

Datuk di sebelah ayah daku daku tidak pernah berjumpa, kerana beliau meninggal sekitar tahun 1969. ketika arwah ayahanda daku masih lagi jiwa muda. Ironinya, beliau merupakan seorang pegawai Bomba di Balai Bomba Maxwell (Nama lama balai bomba ini), dan beliau meninggal di sebabkan serangan jantung, seperti jua ayahanda daku. Dan mungkin kerana kubur ampang ketika itu masih banayak lot kosong, ayah kepada arwah ayahanda daku dikebumikan di situ.

Kubur Ampang di ambil dari atas.

Seingat daku, sudah menjadi tradisi ayahanda daku membawa kami adik-beradik di hening 1 Syawal saban tahun, kecuali pada tahun lepas, di saat beliau masih ada. Di kala jam 5 pagi kami dikejutkan dari lena. Bersiap memakai baju melayu, menjinjing 2 botol air Yassin, beberapa naskah buku Yassin dan bunga-bunga daun pandan mewangi. Destinasi kami adalah Kubur Ampang. Dan dari Kubur Ampang kami 4 beranak menuju ke Kubur Datuk Keramat, kubur arwah nenek daku.

Saban tahun tradisi itu semakin di lupakan, dengan perkahwinan kekanda-kekanda daku, seorang demi seorang, keadaan fizikal ayahanda daku yang semakin teruk, dan kemuncaknya tahun lepas masih lagi daku ingat, belaiu berkata dalam linang air mata bahawa beliau tidak dapat pergi melawat kubur  ibu dan ayahnya. Mungkin beliau dapat merasakan, bahawa belaiu akan berjumpa dengan mereka tidak lama lagi.

Dan tahun ini, daku dengan sendirinya meneruskan tradisi seorang diri. Tidak bermaksud menyinggung perasaan sesiapa, tetapi daku mampu untuk melawat kubur datuak (bahasa minangkabau) daku, dari segi fizikal, kemampuan, kewangan. Lalu pada hari terakhir Ramadhan daku berkelana berkeseorangan di Kubur Ampang. Daku akui, hampir setengah jam daku berpusing-pusing di celah ribuan kubur yang mungkin ada lebih tua dari daku.

Di antara ribuan kata-kata bidalan yang daku masih ingati adalah ” percaya pada gerak hati dan keputusan yang pertama”. Daku telah ketemui kubur datuk daku masih lagi berlegar-legar membaca bahasa jawi dan tulisan yang sudah tidak nampak. Ingin sahaja daku bertanya kepada sekeliling di manakah kubur datuk daku, tetapi siapa yang kenal? Tambahan ramai jasad tidak bernyawa di sini, mana boleh menjawab? Lagi pun ramai waris sedang membaca yassin, tidak manis menganggu bacaan Yassin mereka.

Kubur Arwah Datuak daku.

Dengan berpandukan gerak hati, daku terduduk sebentar melihat kubur arwah datuk daku. Memanglah kubur beliau melebihi 40 tahun, tetapi daku agak menyesal kerana pusara beliau telah patah dan daku sendiri ketika ini tidak mampu untuk berbuat apa-apa dari segi kewangan. Hanya mampu mendoakan, bacaan Yassin dan al-fatihah. Kemudian daku ke Kubur Datuk Keramat, kubur nenek daku dan mak long daku. Alhamdulillah, ada sedikit kesan kehadiran waris beliau selain daku.

Setelah selesai membaca Doa dan berborak seketika dengan arwah, daku menuju ke kubur arwah Mak Long daku, melakukan perkara yang sama. Tidak lupa daku bertegur sapa dengan ahli kubur lain, memberi salam yang pastinya tidak akan kedengaran jawapannya. Terdetik juga di lubuk hati daku, tahun depan dakah daku masih lagi melawat mereka atau menjadi kalangan mereka.Alhamdulillah, kubur ayah daku masih lagi terjaga, dan ini adalah gambar lama, gambar tahun lepas. Gambar terbaru pokok hiasan di atasnya merimbun.

Kubur ayahanda daku.

Terfikir juga daku; Hari ini daku masih mampu melawat mereka kerana daku tiada tanggungjawab lain, tetapi bagaimana pula setelah ramai kaum keluarga daku sendiri telah meninggal? Bagaimana pula jika daku telah bertemu jodoh dan ibu-bapa jodoh daku telah meninggal dan daku perlu melawat mereka? Di pagi 1 Syawal nanti berapa kubur harus daku lawati? Dan jika daku mengambil keputusan untuk mengurangkan ziarah kubur, kubur manakah daku perlu singkirkan keutamaan?

Mungkin itu yang terjadi dengan kubur datuk daku, semakin lama, semakin banyak anak-anaknya yang bertemu kembali dengannya. dan yang berasal dari tanah akan kembali menjadi tanah. Secantik-cantik hiasan kubur ia tidak dibawa mati. Hanya amalan baik dan anak soleh yang akan terus mendoakan kedua ibu bapa mereka. Anak-anak pasti akan melebihkan ibu dan ayah mereka berbanding datuk dan nenek mereka. Dan adakah akan berterusan begitu?

 

Terima Kasih Kerana Membaca. . ..

 

Sudah Ramadhan rupanya. . . .

Tidak ku sangka, pejam celik pejam celik sudah hampir setahun berlalu, Ramadhan menyinggah lagi dalam kamus hidup daku. Begitulah masa, tidak pernah menunggu sesiapa, ia akan terus berjalan, tanpa terlewat sedetik pun, tanpa tercepat seketika pun.Sebenarnya terdapat pelbagai kenangan manis dan pahit berlaku di dalam bulan Ramadhan ini.

Terutamanya sekali kenangan daku berpuasa di merata tempat sejak kebelakangan ini. Tahun ini daku akan berpuasa di atmosfera baru, walau di beritahu dan di gambarkan keadaannya, daku masih tidak berpuas hati gerangan bagaimanakah berbuka puasa secara individu, hendak membeli makan pun susah, hendak berbuka puasa lagilah bercita.

Tahun lepas daku banyak berbuka puasa bersama-sama rakan kilang daku. Bermula dari beramai-ramai pergi ke bazar juadah jalan kuching, kami mengumpulkan juadah dan di kongsi bersama-sama, sebuah meja panjang kami berkumpul, di atas lantai berlapikkan kotak tebal juga pernah. Daku juga tidak kekok bergaul dan bergelak ketawa dengan pelbagai ragam dan latar belakang manusia dari pelbagai jabatan, dari operator makanan, ketua baris, orang pejabat kepada juruteknik pembaiki mesin dan mesin penghawa dingin, QA sendiri juga tidak ketinggalan.Walupun kami berbeza kerjaya, tetapi kami masih lagi berpuasa danberbuak puasa di wakti yang sama.

Tahun pertama daku bekerja di kilang itu daku banyak makan keseorangan, kadangkala makan bersama operator makanan kebab, Zul dan pekerja Nepal. Sudah puas daku makan ayam kebab bakar, kepak ayam bakar dan daging salai. Kadangkala daku juga tumpang sekaki dengan menyediakan nugget ayam, burger, sosej jumbo dan juga kegemaran daku bebola ayam berkeju. Ada juga daku berbuka puasa di medan selera Maju Junction bersama Liza. Lucu juga kerana tempat sudah penuh dan kami hanya mengeuk air sambil menunggu tempat kosong.  Mungkin ketika itu gaji daku tidak seberapa dan daku tidakbegitu mengenali rakan tempat sekerja ini, daku kadangkala hanya berbuak puasa dengan minum minuman panas, buah kurma tiga biji, menunaikan solat dan terus menjadi penunggu stesyen bas.

Di politeknik di zaman muda-muda dahulu, daku sama ada berbuka puasa seorang diri dalam bilik, ataupun berbuka puasa bersama-sama rakan sahabat handai, di kafe kamsis B, di bilik abang Din jiran berdepan bilik daku, di padang sebelah masjid Besar SAS belakang bazar Ramadhan Kuantan, di kedai mamak, di tepi jalan, di dalam kereta, pura-pura berbuka walhal terkantoi puasa balik sebelum itu. Di sini juga daku ingin mengucapakn ribuan teriam kasih kepada mereka yang sudi menumpangkan daku membawa daku keluar berbuka bersama di luar kamsis POLISAS dakulu kala.

Sewaktu bekerja di BOTM-UFJ jalan Sultan Ismail dahulu, permulaan puasa daku banyak berbuka puasa dengan membeli makanan di kedai dan gerai mamak dan melayu di bawah belakang temapt bekerja daku. Ada juga mengirim dengan mereka yang pergi ke bazar juadah, berbuka puasa  di medan selera, tetapi semakin menghampiri penghujung puasa daku banyak berbuka puasa dengan air kosong dan kurma 3 biji. Kemudian terus menuju ke surau dan berjemaah maghrib bersama muslimin sekalian.

Juga tidak ketinggalan kenangan bekerja di pusat boling BF-World di Ampang Park. Berbuasa puasa sambil meneruskan kerja, memerhati mereka di tingkat bawah adakah sudah berbuka puasa, makan sambil menjaga mesin duit, sambil menyuap nasik dan meneguk air. Ada juga daku membeli di bazar Ramadhan di hadapan bangunan Tabung Haji,  dan juga makan besar pabial bos daku Mr. Kwon belanja makan kami di restoran mamak Lotus. 8 orang makan dan minum bilnya melebihi RM400. Nasib baik orang kaya belanja.

 Daku pernah ikut ibu berniaga di bazar Ramadhan, kenangan berbuka puasa beramai-ramai, saling bertukar juadah antara peniaga, adakala jualan habis licin dijual, jualan tidak berapa laku, hujan rahmat Tuhan membawa gentar dan gundah gulana dengan harapan untuk jualan hari itu. Kecoh dan kelam kabut semasa menjual. Ada juga terlebih dan terkurang dalam mengira jualan makanan.

Bgitu banyak kenangan daku berbuka puasa. Namun daku pasti ramai lagi yang mempunyai lebih banyak kenangan berbuka puasa. Walau di mana pun kita berada, kita tetap akan menghadapi rutin yang sama. Mengambil sedikit masa  untuk keluar membeli juadah, mengidam makanan sambil berkata esok masih ada,  menunggu waktu berbuka samada dari azan radio dan tv, melihat orang lain sudah makankah. Lucu pun ada, sedih pun ada. Yang penting semuanya akan memanjatkan kesyukuran di saat makanan dan minum menjejak ke ruang rongga mulut. Allahuakbar! nikmatnya makananan dan minuman ini.

Terima Kasih Kerana Membaca dan selamat mengimarakkan Ramadhan  dengan ibadah dan kesederhanaan.

Eh, sama la. . (dalam hati)

Salam hari Isnin.

Perkara pertama yang terlintas dalam minda kita di hari minggu pertama bekerja di tempat baru adalah kebarangkalian untuk kita berjumpa dengan mereka yang sama muka, sama perangai, sama nama mahupun orang yang kita pernah kenal dari tempat lama kita bekerja di tempat yang kita baru bekerja.

Betapa kecilnya dunia ini,daku ingatkan pabila berkerja di tempat baru, suasana baru, segala-galanya akan baru, namun daku silap sama sekali. Tidak semuanya baru di tempat baru. Mungkin habitat dan sistem ekologinya baru, namun manusia tetap manusia, tetap hambaNya yang lemah, tetap melakukan kesilapan.

Mungkin ada seseorang mahupun segerombolan manusia yang kita menyukai karekteristik mereka, kita senang bekerjasama dengan mereka dan sikap mereka tidak terlalu menyakitkan hati mereka. Manusia jenis ini memang payah untuk kita berjumpa, memang payah lagi untuk kita hargai keikhlasan mereka untuk menegur kealpaan kita,  dan pastinya lebih payah lagi untuk tempat baru yang dipenuhi oleh mereka.

Kadangkala nama juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk sahsiah manusia. Nama itu satu doa, setiap yang bernama manusia mempunyai maksudnya yang tersendiri, setiap kali kita memanggil nama seseorang kita akan mendoakan diri mereka. Atas sebab itu berdasarkan nama kita bagaikan boleh mengagak peribadi mereka. Sungguhpun begitu, tidak semestinya mereka yang mempunyai nama yang sama mempunyai peribadi yang sama. Nama yang sama di tempat yang berlainan tidak semestinya baik dan tidak semestinya jahat.

Mungkin juga ada yang mukanya sama, dengan mereka yang yang kita pernah bekerja, kekasih lama, mereka yang pernah kita suka tetapi tidak kesampaian, rakan kita yankita menyampah tetap dalam versi yang lebih baik. Ini membuatkan kita terfikir mengenai diri kita, kenapa terlalu skeptikal sesam manusia, cepat sahaja kita menuduh seseorang itu bukan-bukan?

Pasti juga di dalam politik melayu, hidup berpuak-puak, setiap puak terdiri dari golongan yang sama, yang kanak-kanak riang tetap dalam kumpulan tidak matang mereka, yang tua tidak memahami jiwa raga yang muda walhal mereka juga pernah muda, yang tidak campur hanya buat kerja mereka seperti ikan kering; mata dan mulut terbuka dan terbeliak, tetapi tidak mengetahui hal sekeliling.

Dunia oh dunia! Betapa hebatnya dunia ciptaan kamu ya Allah,KaMu telah membuka mata daku dengan ciptaanMu, Kamu juga telah membuat hamba ini terfikir sejenak, tentang kekuasaanMu. Manusia ini terdapat pelbagai jenis, tetapi bagi yang berhenti dan berfikir sejenak dari kesibukan dunia, sebenarnya kami semua sama sahaja, berfikir di atas landasan logik dan di terima akal sahaja.

Terima Kasih Kerana Membaca.

Bukan Ku Tak Ingin …

Untuk merendah diri,

tetapi apakan daya, syaitan lebih bermaharajalela. Di bisik dan di goda di corong telinga, daku hanya mampu mendengar kelu dan tidak terkata. Oh! Sungguh hebatnya dugaan dariNya! Hampir-hampir daku terlena di buai godaan laknatullah cilaka. Boleh sahaja daku makan apa sahaja, tinggal di mana sahaja, kerja apa sahaja, tetapi semangat ingin mencuba, ingin ada semua, ingin merasa, tidak di pandang kosong sahaja sesama manusia. Oh! hati daku berkata, mengapa daku seringkali di uji dengan harta, membawa kepada persoalan sayangkan dunia, sayangkan harta.

Daku ingin hidup menyendiri, peduli apa daku dengan suara dari kiri, memberi komen bagaikan sempurna diri, daku ingin berasa bangga di sini, dengan apa yang daku punyai, kerana daku tidak serupa mereka ini, besar dan menggerunkan sentiasa bermain di hati, senyum tidak bermakna daku suka hati, hanya ingin menjaga hati, sejuta lawan satu hati rapuh ini, biarlah ia bernanah di dalam hati.

Usah terburu-buru, daku bukan hendak mencari seteru, memang bagus merendahkn dirimu, bongkak dan angkuh bukan jati diri daku, berdiam diri dan memandang orang lain begitu, jika daku boleh menetapkan mataku, melihat syaitan berbisik di telingamu, teruskanlah mengangkat dirimu, kami semua tidak setanding kamu yang satu, ampunkan patik tuanku, tetapi tidakkah tuanku tahu, diri mu kini tidak dipandu dirimu, bermegah dengan harta pinjaman Tuhan nan satu.

Daku bersyukur kepada Tuhan yang Esa, seringkali di uji setiap masa, walaupun kadangkala merungut tidak tentu hala, tiap kalinya bangkit jua, memikirkan SIAPA yang daku ingin hamburkan kemarahan ini ya? Sebagai makhluk ciptaanNya, suka hatilah Allah ingin menduga, kita ciptaanNya yang tidak sempurna, kerana yang sempurna hanyalah diriNya, dan kita akan terus di duga, untuk mengingatkan kita, teruskan berusaha, untuk menjadi hamba sempurna.

Terima Kasih Kerana Membaca.

Kerja Apa yang Pasti Jadi Kaya??!!!

Daku pernah di sapa dalam YM oleh seorang junior sekolah daku, memang di ketahui beliau di zaman sekolah dahulu suka berdebat, dan kebolehan berbicara dengan fasih menggunakan bahasa Inggeris menambahkan lagi bakat beliau. Biarlah, daku bukan ingin mengumpat beliau, jikalau beliau memang berbakat, daku tiada masalah dengannya.
Beliau bertanya mengenai pekerjaan daku, apa kelulusan, bidang kerja dan skop kerja daku. Mungkin beliau ingin memahami bidang kerja sains daku ini, daku terus sahaja menerangkan; daku dalam bidang sains makanan, paling penting daku bukan kerja makan dan merasa sahaja, lebih kepada memastikan makanan yang dikeluarkan dari kilang selamat untuk di makan dengan mematuhi standard dan piawai akta dan undang-undang makanan.
Pelbagai jenis ujian dan cara-cara yang di lakukan bagi memastikan makanan dan minuman yang keluar dari kilang itu tidak memberi sebarang masalah kepada pengguna. Ujian-ujian makmal ini mungkin seperti siri televisyen CSI (Crime Scene Investigation), tetapi tidak melibatkan darah, sel DNA mahupun cebisan mayat seseorang, tetapi kami lebih kepada alam semulajadi; tumbuhan, haiwan dan juga sel-sel seni molekul dan seni dalam pembungkusan serta proses pengenalpastian jenis mikrobiologi.
Dan setelah mendengar penjelasan lengkap daku, dari caranya daku ketahui beliau sebenarnya beliau tidak berminat dengan penjelasan panjang lebar daku, cuma beliau lebih berminat dengan jaminan kerja (Job Security) yang daku sedang usahakan. Bidang kerja daku ini, adakah mampu untuk memberi pulangan setimpal dari segi kewangan , jaminan untuk keluarga jika terjadi apa-apa kepada daku, sejauh mana bidang pekerjaan ini mampu meningkatkan peribadi daku dari sudut kemahiran.
Bagi daku, apabila seseorang memilih kerja, dua faktor yang membuatkan seseorang itu bekerja. Yang pertama adalah minat, kerana minat, seseorang itu akan berusaha bagi masuk ke dalam bidang kerja yang di minatinya. Apa-apa yang terjadi pada dirinya, di sebabkan minat beliau akan bangkit. Sebagasi contoh, daku memang minat mengenai   makanan, tetapi daku tidak mahu hanya  makan tanpa mengetahui proses penghasilan, bahan atau ingredient yang di tambah bagi mendapatkan bentuk, rasa, fizikal makanan itu. Ilmu sains dalam makanan, itulah minat daku.
Faktor yang kedua yang membuatkan seseorang itu bekerja adalah kerana ingin bekerja sahaja, tiada minat dalam  apa yang beliau kerjakan, buat sahaja apa-apa kerja asalkan ada kerja. Manusia jenis ini agak bagus kerana tidak memilih kerja, boleh kembali mula bekerja dari bawah walaupun telah naik ke atas. Namun, kita perlu ada matlamat dan jati diri dalam menentukan hidup kita.
Lalu daku terfikir sejenak, daku bekerja kerana minat, daku berusaha belajar mengenai apa yang daku minat, apa-apa yang bersangkut-paut dengan minat daku, daku tidak memikirkan jaminan kerja daku ini, kerana daku tahu, sungguhpun jika sesuatu kerja itu mampu memberi jaminan keselamantan kerja yang bagus, jika daku tidak berminat dengan kerja itu, tidak dapat campur dengan bidang kerja itu, rela daku lepaskan semua itu. Kerana tidak guna membuat sesuatu kerja kerana terpaksa. Daku pernah cuba.
Mereka yang memilih pekerjaan di sebabkan mana-mana faktor mungkin mampu untuk melakukan kerja yang memberi jaminan kerja, tetapi kepuasan adalah lebih kepada faktor pertama. Mungkin kalian mempunyai pendapat berbeza, itu terpulang kepada kalian. Yan gpenting mempunayi pekerjaan dan mampu untuk membayar segala hutang-hutang serta membiayai hidup diri sendiri serta mereka yang dikenali. Hidup perlu diteruskan, dan kerja perlu dilakukan.
Terima Kasih Kerana Membaca.  .

 

 

 

5 tahun yang lalu

Sekitar tahun 2005 atau 2006, tidak berapa ingat, daku menjalani latihan industri di sekbuah kilang susu di Petaling Jaya. Boleh merujuk kepada pos ini. Dan sejak itu, daku serba sedikit memahami kawasan Petaling Jaya, sebuah penempatan yang agak besar dan boleh dikatakan syurga pekerjaan bagi mereka yang berkelulusan seperti daku dan terutamanya juga bagi mereka yang lain.

Di sebabkan rumah daku agak jauh dari kawasan Petaling Jaya, di tambah daku masuk kerja jam 8 pagi, dan daku juga tidak berkemampuan untuk menunggang kenderaan sendiri, maka tren PUTRA-LRT menjadi medium pengangkutan daku untuk ke tempat kerja. Mungkin juga ia lebih dekat dengan kawasan perumahan daku.

Menaiki tren aliran Kelana Jaya seawal jam 6.30 pagi, pandangan mata mengantuk daku terubat apabila menghirup wangian “parfum” dan “eau de toilette” , mencuci mata melihat keayuan gadis-gadis comel dengan pakaian  pejabat, melihat (dari jauh) gerombolan pelajar CBN berbicara mengenai kehidupan masa remaja mereka. Tidak ketinggalan juga melihat fesyen-fesyen terkini lelaki kacak dan bergaya bagaikan semuanya CEO syarikat korporat mahupun model terkenal dari US.  Zahirnya daku suka memerhati orang, dan itulah yang daku lakukan.

Mengira purata perjalanan di antara 90 saat ke 120 saat antara stesyen, perbezaan tambang ke Kuala Lumpur dan selepas kuala Lumpur adalah tidak banyak berbeza. Sepanjang perjalanan daku menaiki tren itu, daku merasakan betapa beruntungnya daku menaiki tren itu, dengan kadar kelajuan yang pantas, dapat menghindari kesesakan lalu lintas jalan raya, membantu mengkayakan syarikat pengangkutan di samping juga membantu mengurangkan jumlah jumlah kenderaan di atas jalan raya.

Menjejakkan kaki ke tempat yang sudah lama tidak berada, kadang-kala membangkitkan kenangan yang bercampur baur, manis dan masam, seronok dan tidak, suka dan duka. Kadangkala daku inginkan peluang kedua untuk menjalani kembali kehidupan yang pernah daku hadapi, mungkin daku mampu untuk membawanya dengan lebih baik, mungkin juga tidak.

Apa-apa pun, zaman itu telah berlalu, daku hanya mampu mengeluh panjang semasa mengimbas kembali. Tetapi kita tidak tahu, telah tercatit semuanya tentang kita, yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Mereka yang lalai dan alpa pasti tidak sempat untuk bermuhasabah diri memikirkan semua ini. Namun ketentuan alam, hanya diriNya yang maha mengetahui.

Terima Kasih Kerana Membaca. .


Bangsa Membaca Bangsa Berjaya

Daku akui, daku amatlah kurang membaca bahan membaca berbentuk ilmiah, buku-buku agama, perbincangan isu-isu semasa, politik dan sebagainya. Dan jika pun daku membacanya, hanya dari surat khabar, semasa menunggu orang, atapun telah mencapai tahap kebosanan yang amat sangat.

Walau bagaimana pun, perkara-perkara melibatkan industri hiburan, muzik, artis dan kehidupan mereka, daku tidaklah begitu pakar tetapi lebih sedikit ilmu yang dikutip berbanding bahan bacaan berbentuk ilmiah. Kadangkala rasa agak menyesal juga kerana meminati perkara tidak penting berbanding yang serius penting.

Pada minggu ini,daku telah dipelawa oleh rakan daku ini untuk ke sebuah pustaka buku agama yang agak terkenal terletak di sebuah jalan yang agak terkenal di bandar raya Kuala Lumpu yang sememangnya terkenal.

Sememangnya daku pada mulanya kemalasan untuk bersama belaiu meneruskan niat murni beliau, tetapi secara positifnya, ini peluang bagi daku untuk kembali mencintai ilmu.

Jadi pada hari, waktu dan tempat yang di tetapkan, kami meredah ratusan kenderaan yang berpusu-pusu menunaikan tuntutan ibadah mereka, bekerja juga adalah satu bentuk ibadah.

Di mulakan dengan Bismillah dan langkah kanan, kami memasuki sebuah kedai buku dan melihat-lihat majalah terbitan berkala. Dari hiburan, ke isu semasa, hobi peribadi manusia, dan semestinya manusia yang terbuka di buka luas semuanya ada. Larat atau tidak sahaja ingin melihat.

Kemudian, kami menuju ke bahagian novel. Gambaran suasana adalah seperti berikut;

Dan ini pula adalah ruangan buku-buku ilmiah. Ternyata daku tidak mengetahui ruangan ini kerana daku terkesima membelek-belek tajuk buku yang pelbagai. Malu daku rasakan tidak pernah menjejak ke ruangan ini.

 

Ini pula ruangan buku motivasi diri, yang pastinya muka pakar motivator perlu ada untuk melariskan bukunya.

Daku ingin membeli sebuah buku.Himpunan novel cinta telah menyesakkan minda dan dada daku tetapi ada sebuah novel telah membuat daku terpandang, yakni tidak silap daku tajuknya Yakjuj dan Makjuj.

 

Ini adalah kisah dari Al-Quran Al-Karim, dan bagi daku, sejahil mana pun umat Muhammad itu, kita wajib mengetahui mengenai mengenai mereka. Wallahualam.

Semua orang membaca, tidak kisah dari lembaran akhbar hingga ke novel cinta, mahupun buku motivasi ke Modul pelajaran. Yang pastinya sumber rujukan khas dari Allah swt kepada manusia sebagai pembimbing dan rujukan adalah dalam bentuk buku, yakni Al-Quran Al-Karim.

Semaikanlah minat membaca, bermula dari majalah hiburan kepada buku motivasi diri, kepada akhbar kepada buku ilmiah. Dan raja segala buku yang perlu di baca dan di hayati iaitu Al-Quran jangan sekali-kali berkata ” sudah bosan” mahupun ” aku dah khatam “.

Terima Kasih Kerana Membaca. .