Category Archives: Islams my religion

Realistik versus Islamik

Salam hari Sabtu.

Kadangkala daku terfikirkan mengenai pendirian daku. Adakah daku seorang yang realistik ataupun lebih percayakan Islamik. Adakah daku membuat keputusaan berdasarkan percayakan benda yang daku sendiri nampak atau boleh bayangkan akibatnya? Ataupun daku berusaha sehabis baik dan berserah kepada qada dan qada’ serta ketentuan dariNya. 

Daku akui yang iman daku senipis helaian bawang besar. Nampak besar dan teguh. Di tambah dengan pembebasan asid Sulfenik mengakibatkan kita menitiskan air mata, namun hakikatnya bawang itu terdiri dari helaian nipis  dan rapuh. Begitulah iman daku.

Dan kerana daku mempunyai iman yang nipis sebegini, daku cenderung untuk lebih bersifat realistik. Membuat keputusan untuk mempengaruhi tindakan dan masa hadapan daku berdasarkan apa yang daku lihat. Sungguh dengkel sifatku ini, seolah-olah membelakangkan agama dan melebihkan dunia.

Namun sebahagian sifat akhir dalam bersifat realistik daku ini adalah adakalanya dan ada juga selalunya daku pasti berdoa dan berserah padaNya setelah mendapat keputusan. Pastinya dalam kedua-dua sifat daku ini terletak pada kuasaNya. Baik dan buruk keputusan pasti ada sebab dan munasabab.

Pernah di zaman daku belajar dahulu, aku seringkali memerhatikan cara dan teknik rakan sekuliah daku belajar. Apa yang dilakukan seharian waktu mereka termasuk ulangkaji pelajaran mereka dan hasilnya pada setiap semester. 

Daku tertarik pada seorang pelajar tabligh ini, seharian beribadat kepada Allah swt, hujung minggu dihabiskan di masjid dan surau serta madrasah. Mengantuk sentiasa terpampang di wajahnya. Namun paling daku terkejut markahnya sentiasa cemerlang saban semester dan jika difikirkan dengan cara hidup beliau, daku sendiri pasti mengalah awal-awal lagi. 

Pernah daku datang ke biliknya dan bertanyakan teknik belajarnya, dengan tenang dan lemah-lembut beliau berkata seharian beliau ulang kaji dua jam sahaja, selain dari waktu belajar di kuliah dan kelas. Selebihnya doa tidak putus-putus kepada Allah mengharap yang terbaik untuk diriNya. 

Segala yang wajib sentiasa di lakukan, yang wajib pula bagaikan fardhu di atas dirinya. Solat lima waktu, tambah lagi solat sunat, menjaga makan dan minum, adab dan tertib, sunnah nabi. Semuanya menjadi perkara wajib atas dirinya. Sedangkan duniawi lain yang menjadi perkara wajib manusia lain jug daku sehingga alpa dengan apa yang sepatutnya.

Sesungguhnya daku lemah dan kurang keyakinan terhadapNya. Daku tidak dan kurang mencuba segala yang di perintahkan terhadap sekelian hambaNya. Nah bagaimana pula doa daku di makbulkan sedangkan daku tidak melakukan apa yang di perintahkan. Hamba mana dimakbulkan permintaan jika tidak menurut perintah?

Daku tidak sepenuhnya percayakan qada dan qada’ dariNya. Berharap dan bersabar bukanlah sifat terbaik dalam diri daku. Duduk menunggu dan menerima telah lama daku tinggalkan sedangkan bertindak mengkhinzir buta serta menebalkan muka yang daku suka lakukan jarang sekali membuahkan hasil yang daku harapkan.

Kecintaan daku terhadap dunia seringkali membuaikan daku lebih jauh lagi ke dalam dunia ciptaan daku yang plastik belaka. Dunia tidak pernah menjanjikan kebahagian berpanjangan kepadaku dan masih lagi daku mengharapkan sedangkan akhirat yang pasti daku masih abaikan. Ini tidak betul. Daku harus berubah, walaupun baru selangkah.

Terima Kasih Kerana Membaca.

Masih Muda, Masih naif… sangat

Salam di bulan Oktober.

Ini adalah sebuah penceritaan kisah cinta klasik. Cinta sejati si uda dan dara. Konflik mula melanda percintaan sejati mereka kerana di tentang ibu dan sanak saudara. Si uda dan dara bersikap optimistik manakala ibu bersifat realistik. Bapa pula Islamik pada perkara asas sahaja.

Uda dan dara masih menyulam cinta. Kisah yang bermula dari mata dan turun ke hati di pusat pengajian tinggi. Kisah tipikal masyarakat kini. Bercinta semasa belajar memang enak sekali. Banyak masa untuk segala-galanya.

Si bapa menyokong si dara untuk kahwin. Tetapi si uda dan dara hanya memahami teori perkahwinan dan si bapa tidak mahu menanggung dosa anak daranya lagi. Si bapa dan uda & dara tidak segera menyerah kalah. Malah penyatuan jiwa merpati dua sejoli ini semakin membara untuk ke jannah impian mereka. 

Namun berkat ilmu agama dan penerapan adat timur oleh ibu bapa sejak dari kecil lagi, si dara sedar perlu ada status mutlak untuk semua yang mereka lakukan. Perkahwinan adalah matlamat utama mereka. Lalu dengan minda belia remaja mereka, senang sahaja membuat keputusan. Mari berkahwin.

Lalu di cadangkan nikah gantung. Nikah hanya untuk menghalalkan hubungan. Bersama dan berpelukan tanpa menambah dosa. Namun pada nama sahaja. Tanggungjawab sebagai suami dan isteri tiada. Tiada rumah untuk di kemas, tiada masakan dari isteri kepada suami, tiada berkasih dan bersayang sesuka hati mereka. 

Si uda dan dara masih duduk dengan ibu bapa mereka. Hanya sesekali melunaskan nafsu batin, namun konon-kononnya kawal diri tidak mahu anak. Tengok sahaja isteri dan sebaliknya tambah mereka lagi. Sudah halal mahu tengok sahaja, cadang hati remaja mereka. 

Pada pandangan cetek mereka, perkahwinan adalah menghalalkan perhubungan. Menghalalkan segala terpegang, tersentuh, tercuit dan terberahi. Pada pandangan realistik pula berbeza. Cipta ruang untuk diri mereka hidup. Wujudkan benda yang di perlukan untuk terus hidup dalam realiti.

 Uda dan dara yang bersikap optimis mahu cinta mereka berlandaskan Islam. Sambil bercinta sambil ingat Islam. Namun jika cinta berlandaskan Islam, maka takutlah dengan azab Tuhan wal’ima terfikir untuk terpegang, tersentuh, tercuit dan terberahi.

Perkahwinan tidak sesenang disebut di mulut. Jangka masa perkahwinan itu sendiri juga tidak selama menyebut perkataan perkahwinan. Si uda mungkin bertindak gagah perkasa dengan sedia bekahwin, tetapi adalah si uda sedia berkahwin?

Ya dalam Islam ada menyebut perkara penting dalam perkahwinan adalah  pengantin lelaki (Suami),  pengantin perempuan (Isteri), wali, dua orang saksi lelaki serta Ijab dan kabul (akad nikah). Tetapi ini semua sebelum dan bagaimana pula selepas berkahwin?

Majlis kahwin perlu di adakan. Penghebahan bahawa si uda dan dara telah sah bernikah dan mendaftar perkahwinan mereka. Wang hantaran, barang hantaran dan segala persiapan majlis. Sepatutnya siapa yang patut sediakan?

Jika si uda ada berani untuk memperisterikan dara, takkan tidak berani untuk menyediakan segalanya? Dan itu hanya untuk sehari di hari majlis, bagaimana pula untuk hari-hari mendatang selepas majlis perkahwinan? Ada muka untuk meneruskan hari-hari mendatang sebagai seorang suami?

Bagaimana pula untuk hidup sendiri sedangkan wang hantaran dan segala perbelanjaan perkahwinan si uda hanya keluarkan duit RM100 sahaja? Dan itu ketika berdua, bagaimana pula jika bertiga, berempat dan seterusnya? Sendiri buat tetapi sendiri tidak mampu bayar. 

Masa bercinta segalanya nampak indah. Segalanya boleh di capai bersama tanpa rungutan dan putus semangat. Namun di dalam komoniti kini yang manja dan segalanya di lakukan dengan pertolongan, mampukah generasi kini melakukan sendiri?

Memang ada yang berbicara bahawa hidup ini ketentuanNya. Percayakan Allah SWT dan Allah SWT akan membantu kita. Namun kita juga perlu berusaha dan percayakan diri sendiri. Ada sebab kita ini hambaNya yang lemah dan kita seharusnya sedar bahawa ada usaha adalah hasilnya.

Terima Kasih Kerana Membaca.

Bulan Puasa, bulan membuat duit raya.

Salam Ramadhan di minggu yang terakhir.

Ramadhan yang di cintai kini memasuki minggu dan hari-hari yang terakhir. Malu untuk daku akui Ramadhan kali ini agak malap dan tidak bercahaya untuk diri daku. Hanya setakat menahan lapar dan dahaga sahaja. TIda lebih dari itu.

Dan seperti tahun-tahun yang lalu, masyarakat Islam Malaysia secara amnya menggunakan bulan Ramadhan ini yang sepatutnya disinari iman dan tawaduk kepadaNya namun di bayangi peluang untuk membuat dan mencari duit.

Bazar Ramadhan merupakan peluang asas yang di gunakan masyarakat untuk membuat duit di atas nafsu manusia yang naik dan turun. Mengetahui bahawa sa-nya manusia ini sentiasa mahukan pembalasan setimpal di atas setiap perkara yang di lakukan, menahan lapar dan dahaga daku harus di bayar dengan makanan kegemaran yang banyak serta minuman sejuk manis sedap serta banyak. Cukup 30 hari Ramadhan di banyangi nafsu bermaharajalela.

Juga Syawal yang di janjikan kepada umat Islam yang berusaha menahan nafsu sepanjang bulan Ramadhan, terlalu mewah dan membazir serta berlebih-lebihan. Dengan pakaian lengkap mengalahkan raja sehari mencecah ribuan ringgit, perabot dan harta benda perlu di tukar semuanya baru, segala jenis makanan biskut raya yang boleh di bawa ke syawal tahun hadapan tak terkira banayaknya. Sang peniaga mana yang tidak rela hati menjual semua ini?

Daku akui daku juga turut serta dalam pesta mencari duit ini. Menolong rakan daku di bazar Ramadhan. Di akui juga sepatutnya jualan makanan itu tidaklah seberapa, namun di atas tawaran menarik , godaan nafsu, pujukan terhadap anak-anak dan mak dara, jualan tidak berapa murah serta senyuman plastik kononnya ikhlas dapat juga kami menghabiskan jualan, majoritinya kepada nafsu mata dan perut pembeli.

Ada juga daku terlibat sedikit dalam penjualan biskut raya di pejabat. Daku tidak mewar-warkan penjualan ini, lebih kepada kualiti yang di akui sendiri mereka yang pernah merasa, dari mulut ke mulut berbicara serta sedikit godaan harga yang murah, sekali lagi nafsu berbelanja mereka membuat keputusan. 

Dan sekali lagi pada esok hari sempena bulan Syawal yang bakal menjelma, daku akan berbelanja untuk menghormati bulan kemenangan umat Islam. Namun syukur kepadaNya tahun ini di beri rezeki kepada daku ada yang telah membeli kelengkapan sepersalinan kepada daku. Daku hanya ingin membeli sehelai seluar lagi untuk menyempurnakan diri daku.

Daku masih ingat lagi beberapa tahun yang lalu, di masa nafsu berbelanja daku yang berbicara, daku membeli persalinan sesuka hati, biar harga menjadi penentu, memikirkan ini peluang untuk diri daku memanjakan diri daku dengan duit hasil usaha daku bekerja. Namun itu semua nafsu daku berbicara, bukan diri daku yang bersederhana dalam semua benda.

Dengan umur daku yang semakin meningkat, daku teringinkan syawal seperti dulu, daku cuba untuk mewarnakan syawal diri daku dengan iman dan tawaduk, duit bukan impian daku, amal dan jariah gapaian daku. Indahnya seperti dahulu.

Terima Kasih Kerana Membaca.

Tak Guna Kau Orang Sembahyang…..

Salam hari yang ke 12 Ramadhan.

Baiklah. Ini adalah salah satu pos daku mengenai pengalaman daku berjumpa dan bercerita dengan rakan-rakan daku sambil mengutarakan suatu topik secara rambang. Daku ingin melihat reaksi pertama mereka dan siapa yang ingin mereka persalahkan.

Ceritanya begini. Ada seorang perempuan ini yang selalu bercerita mengenai hubungannya bersama kekasih konon-kononnya tercinta. Hari-hari mengeluh mengenai ketegasan, sikap terlalu mengawal dan kau adalah bakal isteri aku jadi aku berhak ambil alih tanggung dosa-dosa kau dari bapa kau.

Pendek kata kekasih hati ini sifat terlalu mengawal terlalu menebal sedangkan belum jadi isteri lagi dan kawan perempuan daku ini pula hendak di jadikan cerita terlalu setia sehingga tidak seketul bantahan di utarakan. 

Daku banyak berjumpa dengan wanita Sebegini. Cinta janji setia dengan pasangan kekasih yang sanggup buat apa sahaja demi suatu motif sedangkan di belakang kekasih itu keluh kesah sentiasa di hambur dek tidak tahan dengan sikap kekasih hati itu.

Dan cara keluh kesah di hamburkan itu bagai mengdambarkan penyelesaian kepada permasalahan cintanya. jadi sebagai rakan dengar tidak berbayar yang setia, logiknya untuk menyenangkan cerita daku cadangkan putus sahaja, kau masih muda sempat cari yang lain dan seumpamanya.

Dan hendak dijadikan cerita lagi tidak semudah itu cinta itu hendak diputuskan. Berbakul-bakul kata-kata semangat di longgokkan di dalam pemikiran si gadis ini dan masih tiada keberanian ditegaskan, daku beralih kepada kepakaran daku yang terpendam, sindiran dan sarkastik secukup rasa.

Jadi salah satu sindiran daku kepada gadis tidak keruan ini adalah lebih kurang berbunyi:

” Kau tahu kan orang lain termasuk aku selalu kutuk kau pasal kau dengan laki ko. Pasal sifat king Control laki kau dan jujur setia kau tidak bertempat?”

Dan sekali lagi mungkin pada pandangan diri dia ingin tidak mempedulikan kutukan orang lain walhal dia sekali lagi mempamerkan jujur setia bodoh dalam dirinya:

” Biarlah Shah. mulut tempayan boleh di tutup, mulut orang nak tutup macam mana. Tak gunalah dia orang sembahyang tonggeng terbalik dan masih lagi mengumpat aku dari belakang…”

Dan di saat itu daku terfikir apa hak dia sebagai manusia untuk mempertikaikan bab agama sesama manusia? Sedangkan diri dia masih lagi banyak lubang-lubang dalam rukun Islam, juga bakal suaminya juga dari cerita-cerita mulutnya sendiri suka membuat undang-undang agama sendiri dan paling penting berani diri dia mempersoalkan bab sembahyang kepadaNya? 

Bab agama bagi daku bukan sesuatu sesama manusia senang-senang sahaja mempersoalkan. Sedangkan alim ulama mufti terhormat mahupun ustaz ustazah pemberi ceramah tidak lekang dari ucapan mereka dari mana sumber-sumber hadith serta nas jawapan bagi kemusykilan yang d utarakan kepada mereka. Segala tajuk buku-buku, ulama-ulama, terjemahan surah oleh siapa dan tabiin at-tabiin sumber rujukan mereka.

Sedangkan pakar-pakar agama tidak sesuka hati menjatuhkan hukum agama seseorang berbaloi dan di terima oleh ALLAH SWT tanpa sebarang sokongan bertulis atau secara lisan. Inikan pula manusia biasa yang senang-senang boleh di pertikaikan ilmu agama yang cetek tidak seberapa.

Daku banyak perhatikan manusia kini secara umumnya berani secara lantangnya menutupi kekhilafan diri mereka dengan menuding jari mempersoalkan kredibiliti orang lain dalam menilai diri mereka. Sungguh terdesak diri mereka sehingga soal tiang agama diri orang lain di jadikan sebagai timbal balik perisai diri mereka. 

Sungguh berani diri mereka berlagak bagai ulama, sedangkan ulam sendiri hanya mampu menegur dan menasihat, terpulang kepada individu untuk menerima dan memperbetulkan diri. Daku akui daku sendiri hanya mampu menegur solat orang lain dan setakat menegur sahaja. Tidak mampu lebih dari itu kerana diri daku ini tidak sehebat mana untuk menegur orang. Wallhualam.

Terima Kasih Kerana Membaca.

Puasakah Tahun Ini?

Salam satu Ramadhan.

Alhamdulillah, telah hampir satu minggu kita berdampingan dengan Ramadhan yang telah datang sejak hari Rabu dahulu. Pelbagai acara wajib telah di aturkan sama seperti tahun-tahun sebelumnya seperti bazar Ramadhan, biskut raya dan membeli dan belah sempena raya.

Ini tahun kedua untuk daku berpuasa di tempat kerja baru ini. Sesuatu yang daku gemar mengenai Ramadhan adalah daku tidak berpeluh, tidak senak  perut kekenyangan, dan paling penting daku tidak banyak berbelanja.

 Sedikit berbeza bagi daku untuk puasa daku tahun ini di mana pada tahun lepas daku memandu kereta untuk pulang dari kerja. Kebiasaannya daku akan beli air sahaja untuk berbuka dan minum sedikit di dalam kereta sebelum memandu dengan tenang ke rumah.

Bagi tahun ini pula, dek kerana beberapa sebab yang tidak dapat di elakkan, daku memilih untuk menaiki perkhidmatan pengangkutan awam. Sesuatu yang baru untuk daku di tahun ini dimana daku ada juga menumpang beberapa kali rakan daku untuk pulang ke rumah. Agak bernasib baik di juga di mana rumah beliau agak sehaluan dengan rumah daku dan lebih lagi (bertuah?) daku beliau suka berjalan, menyinggah dan berjalan lagi.

Agak seronok bagi diri daku kerana daku berpeluang untuk melihat sisi bandar raya yang lain. Bazar Ramadhan yang tumbuh banyak di celah-celah bangunan, masjid yang menyediakan juadah berbuka puasa dan 10 minit sebelum berbuka jalan raya menjadi lengang.

Daku juga baru mengetahui lebih ramai manusia di masjid menunaikan solat terawih, lebih ramai lagi manusia di pusat membeli belah & rumah dan yang yang telah daku mulakan tahun lalu berbuka dalam kereta dengan juadah paling asas; air mineral dan kurma.

Tahun ini juga telah menimbulkan satu suasana baru dimana tahun lepas daku ada juga sedikit kerja untuk di jadikan O.T atau lebih masa. Ada lah sedikit wang untuk daku berhari raya. Bagaimanaupun tahun ini agak tiada kerja dan tiada kerja bermaksud tiada wang tambahan.

Juga perjalanan daku menaiki pengangkutan awam, cabaran di bulan Ramadhan ini lebih mencabar serta mengurangkan pahala daku. Kadangkala daku rasakan ingin memakai cermin mata hitam dan  berpura-pura buta. Dari daku melihat aurat terdedah dan tertutup kaum hawa.

Mereka yang tidak mencukupi kain untuk menutupi tubuh mereka mahupun cukup kain untuk menutupi tubuh mereka namun terlalu ketat dan melekat. Bagi daku sama sahaja. Tetap yang melihat itu ada peratusan dosa itu, lebih-lebih di dalam bulan Ramadhan ini bagi yang berpuasa. 

Sehingga ke hari ini, daku masih belum menjejaki ke mana-mana bazar Ramadhan, mungkin kerana kekurangan masa, duit juga, mahu menjaga mata daku ini dan alasan paling logik aku boleh fikir adalah tidak mahu nafsu dan bebas dan berlari-lari membeli makanan dan minuman dengan banyak dan sambil itu juga mengorat anak gadis seorang dua. 

Terima Kasih Kerana Membaca.

Cinta Membutakan atau Cinta itu Buta?

Salam seminggu sebelum kedatangan Ramadhan Al-Mubarak yang di berkati.

Tidak mudah untuk berusia 27 tahun dan tidak berkahwin mahupun komited ke arah perkahwinan. Bukan setakat tidak cukup persediaan fizikal dan mental untuk menjadi ketua, pelbagai lagi faktor peribadi menyumbang.

Berusaha sudah, malah kenalan lain ada juga cuba membantu daku dengan memperkenalkan calon-calon yang sesuai. Daku ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada mereka semua. Sungguh daku hargai jasa mereka.

Dan bagi sesiapa yang tidak mengenali daku secara fizikal, daku ingin beritahu bahawa fizikal daku tidak seperti majoriti asia yang lain. Daku cukup sempurna fizikal malah terlebih pula. Dengan tinggi, besar, gemuk, hitam dan sebagainya, daku rasakan pertemuan daku dengan orang lain pasti memikirkan tiga ayat ini tentang diri daku.

Daku akui daku ini gemok dan tidak sekacak mana, namun seringkali daku terfikir adakah wajib bagi orang gemok bertemu jodoh dengan orang gemok sahaja? Daripada rmai calon-calon yang diperkenalkan, majoriti berisi atau gemok. Penguin dengan penguin sahajakah?

Daku tahu, daku tidak berhak untuk menjatuhkan kebencian terhadap sesama orang gemuk, mungkin orang gemuk lebih mulia dan memahami berbanding orang kurus. Ada daku berjumpa orang gemok sebelum kahwin menyusut berat badan selepas kahwin. Apakah kebarangkalian itu berlaku?

Dan sejak dari daku mampu teringat, daku pasti inginkan sesuatu yang lain daripada orang lain. Daku tidak mahu kelihatan sama seperti orang lain. Dan pastinya daku yang gemuk mahupun pasangan yang kontra dengan diri daku.

Kadang memikirkan sejenak, agak kelakar juga memikirkan skeptikal  orang lain terhadap daku. Ada juga daku manfaatkan teknologi maklumat untuk mencari jodoh. Tetapi sebelum lebih mengenali, mereka mahu tatap wajah daku dan sejurus itu kita hanya berkawan ok. Kawan biasa-biasa sahaja. WTF!! Memanglah daku ingin berkawan.

Melihatkan fizikal yang besar pelbagai tanggapan di lontarkan. melihat daku yang tinggi dan berkaki besar sudah terfikirkan kesulitan yang perlu di hadapi. melihatkan kehitaman daku pasti menganggap daku ini baka keturunan benua Afrika yang hitam. Sawo matang sahaja ton warna kulit daku ini.

Ada dialog pujangga bercerita mengenai cinta, katanya cinta itu membutakan. Apabila kita bercinta segala kekhilafan di kaburkan dari pandangan. Tapi kini dengan teknologi HD, segalanya kelihatan HD penuh dan disitulah sepantas itulah skeptikal di lontarkan.

Daku sentiasa memikirkan semua itu. Adakah begitu aturan hidup daku? Daku tidak boleh memilih dan daku perlu sedar diri? burung kasawari hanya boleh berkawan dengan kasawari sahaja? Persetan apakah semua ini?

Terima Kasih Kerana Membaca.

Politik-kus di Tempat Kerja

Salam di minggu ketiga bulan dan tahun 2013 ini. Antara misi dan visi daku untuk tahun ini adalah merajinkan diri daku semula untuk menulis sesuatu di blog ini. Jadi inilah post kedua daku untuk tahun ini.

Beberapa minggu ini, tahun baru dimulakan dengan isu panas dan sindir menyindir di antara beberapa rakan sekerja daku, Biasalah, apabila ramai rakan sekerja kaum hawa, maka isu-isu kecil remeh temeh akan dipersoalkan sebelum menjadi tegang dan perbalahan mula tercetus.

Daku sedia maklum mengenai hal ini. Malah pengalaman bekerja daku telah melihatkan daku dengan hal sebegini. Dan apa yang daku pelajari dari pengalaman daku, abaikan dan tidak masuk campur tidak akan membawa kemudaratan. Tetapi dalam kes daku ini, dari kaca mata daku, di mana rakan sekerja daku majoritinya berpelaran sekurang-kurangnya sijil profesional, majortinya ijazah, sehinggalah Master, pastinya pendekatan orang bijak pandai ini berbeza. Sepatutnya.

Ternyata tafsiran daku meleset sekali. Walaupun sepatutnya warga bijak pandai ini, ibu dan bapa ini, pekerja berpengalaman ini sepatutunya lebih dari daku ini, ternyata itu semua tidak menjamin mereka mampu menangani isu kemelut dalaman ini daripada mempengaruhi tindakan dan emosi mereka semasa bekerja.

Agak menyeronokkan bagi daku yang sedia maklum gemar memerhati. bermula dari pihak bertelagah yang terlibat. Keupayaan mereka untuk mengolah cerita mereka, Dari apa yang terjadi kepada cerita yang memihak kepada diri mereka. Siapa yang mahu mengaku salah bukan?

Dan di sisi cerita mereka yang menyaksikan drama atau filem yang terjadi. Menyaksikan mungkin atau tidak dari hujung pangkal. Cerita di olah dari sisi mereka. mungkin menyelitkan kebenaran yang terjadi. Dan keadaan lebih teruk jika mereka ini ada menyebelahi mana-mana pihak yang bertelagah. Ada ruang dan peluang dan seorang yang bertanya, maka terhenti seketika kerja ramai pekerja memasang telinga, mendengar cerita sebelum memilih pihak yang mana.

Dan ada pula di pihak penyelia jabatan. begitu asyik menghadap kerja yang tidak pernah reda, Terdengar soseh-soseh anak buah muala bercerita. Si penyelia tidak ambil pusing selagi kerja anak buah tidak terganggu, Namun apabila anak buah sudah tidak bertegur sapa dan suasana terlalu senyap, barulah tindakan mula di ambil, di mana kanser telah merebak dan kesan mulai dirasai. Barulah keluar segala hadith dari kitab-kitab, kata bidalan dan nasihat berbagai bagi meredakan keadaan hanya untuk kerja disiapkan.

Di sebuah organisasi bagaikan tidak lengkap tanpa sebuah jabatan yang kayu seperti daku dan berada diantara tidak tahu dan tidak peduli dengan apa yang terjadi. Benar-benar kusyuk bekerja dan hanya mengetahui apa yang terjadi semasa sesi makan dan perbualan kosong. Di waktu cerita telah basi  dan semakin banyak konflik terjadi, barulah cerita diketahui dan anggukan berkali-kali.

Piahak pengurusan tidak ambil kisah apa terjadi. Jka tahu pun tidak akan mengambil kesan sehingga keadaan menjadi parah. Kononnya tidak mahu terlibat dengan hal kecil namun di peringkat kecil inilah keadaan akan mula begoyah. Tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak, nsmun mudah terpedaya jika ada pihak pandai bercakap, tidak kira pihak yang benar atau salah.

Namun inilah semua realiti apabila bekerja. Tidak mahu ikut pun salah. Terlalu obses dengan politik tempat kerja pun susah . Suka atau tidak, pekerja baru perlu memilih  pihak yang mana perlu di sokong. Seperti politik yang sebenar di alam nyata. Ada baik dan buruknya setiap dari mereka.. 

 

Terima Kasih Kerana Membaca. 

Edisi Mencari Encik & Puan Sempurna

Salam pos pertama di tahun 2013.

Kedengaran kelakar tajuk pos kali ini kerana alih bahasa terus dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu, tapi biarlah, ini blog daku.

Jadi ceritanya begini lebih dan kurangnya. Beberapa hari yang lalu, sekitar selepas hari tahun baru, selepas daku mengenyangkan fizikal dan jiwa daku, dikala melayan berita di saluran televisyen, daku mendapat satu pesanan ringkas dari seseorang yang agak daku lama tidak jumpa, bertanya di mana lokasi dan koordinat daku terkini.

Dengan segak dan tampannya daku memberitahu daku berada di rumah sedang melayan berita. Lalu dengan tangkas dan pantas beliau mengajak daku untuk makan malam ekspres, di sekitar rumah daku sahaja. Walaupun perut daku masih lagi memproses nasi berlaukkan ikan pari masak asam, demi persahabatan yang utuh terjalin, daku mengiyakannya untuk berjumpa beliau dan menemankan waktu makan malamnya.

Sekitar 10 minit kemudian daku di jemput oleh sebuah kereta Perodua myvi di hadapan rumah. Berpusing seketika di sekitar kawasan perumahan daku sambil menentukan destinasi, kami memutuskan untuk ke sebuah restoran makanan barat yang terletak di sebua medan selera di AU3, Friske’s namanya.

Daku yang masih kekenyangan sekadar memesan “Ice Blended Oreo‘s” manakala si dia memesan jus tembikai bersama “Black Pepper Lamb Chop“. Lalu di selangi sesi makan dan minum, kami pun mula bercerita pengalaman dan apa yang telah dikecapi dalam hidup sejak tamat zaman persekolahan.

Beliau sudah tamat zaman belajarnya di sebuah universiti terkemuka tempatan dan kini sedang menjalani latihan “Chambering” di sebuah syarikat pengamal undang-undang. Syabas untuk beliau yang boleh dikatakan berjaya di umur 24 tahun ini, Lalu beliau yang telah lebih 10 tahun daku kenali memberitahu beliau telah bertunang di penghujung tahun lepas.

Agak terkaget daku mengenangkan beliau bekerja pun belum lagi tetapi sudah memikirkan masa hadapan. Bertanaya lebih lanjut lagi membuatkan daku lebih lega kerana tunangnya agak berada, pekerjaan yang stabil dan fizikal paras rupa yang boleh tahan.

Namun di sebalik semua itu, beliau seperti tidak seperti begitu teruja dengan pertunangan beliau, curi-curi pandang daku pada nama tunangnya di telefon bimbitnya tidak menampakkan istimewa orang itu di matanya.

Dan hasil perbualan mengorek rahsia daku terhadap kawan daku ini mengenai tunangnya ternyata beliau janji ada sahaja. Bukan suatu reaksi yang dapat dilihat pada orang yang bercinta dan telah bertunang. Seperi tiada cinta bersemi.

Daku mengenali kawan daku ini sejak beliau tingkatan satu lagi, sungguhpun pengalaman hidup mematangkan kita, masih ada saki-baki siapa diri kita yang sebenar dalam diri ini, Yang hanya dapat dikenali orang tertentu sahaja. Dan daku mengetahui bahawa tiada orang biasa boleh berbalas cinta dengannya.

Bagi daku sekitar umur sebelum 25 adalah masa untuk mengenali, mencari, lebih mengenali dan memastikan bakal cinta hati kita sebelum membawa ke alam perkahwinan. Namun disekitar umur ini juga kit abegitu alpa mencari pasangan hidup yang paling sempuruna dimata kita, ciri-ciri yang di ingini, fizikal sempurna dan sifat yang memahami.

Namun semakin kita meningkat usia, sedikit demi sedikit kita mula menyedari peluang untuk berjumpa pasangan sempurna kita semakin menipis. Dan jikapun kita berjumpa dengan encik dan puan sempurna yang di ingini, percayalah dia tidak sesempurna yang kita harapkan.

Dan mungkin beliau telah lebih awal mengetahui hal ini, beliau memutuskan untuk tidak terlalu mengharap berjumpa dengan encik sempurna beliau. Daripada sakit hati menanggung derita di kala umur semakin meningkat, daripada menunggu sesuatu yang tidak pasti teruskan sahaja peluang yang ada.

Mungkin ini satu tindakan yang bijak, bersedia dengan perancangan untuk masa hadapan. Cinta selepas kahwin mungkin lebih manis. Orang dahulu kala pun tidak mengenali pasangan mereka dek kerana perkahwinan di aturkan ibu bapa dan cinta mereka tetap ke akhir hayat.

Cuma bagi daku cinta itu bukanlah sebab utama mereka ingin berkahwin. Memikirkan kata orang, memikirkan ingin seperti orang lain yang telah berkahwin, Memikirkan ibu bapa yang telah penat membela kita sejak kecil. Tiada sebab semua ini berdasarkan cinta sejati.

Semua orang berhak menentukan hidup sendiri. Bahkan manakan tahu daku suatu hari nanti akan bertindak sedimikian, mengharapkan cinta sejati dan puan sempurna dalam hidupku, suatu yang tidak pasti. Mungkin satu dalam sejuta peluang daku.

Apa-apa pun, daku tidak mengharapkan cinta dalam masa terdekat ini, melainkan sudah tertulis untukku pasangan daku akan ditemui dalam tahun ini. Dengan keadaan ekonomi daku tidak tbegitu stabil, harta tidak seberapa, biarlah yang Esa menentukan hidup daku seadanya.

Terima Kasih Kerana Membaca

Jangan di lupa

 

 

Salam sehari sebelum Syawal menjelma.

Bidalan pernah berkata, seorang ibu dan/atau bapa mampu menjaga anak dari satu hingga berbelas orang semuanya. Dan jika didikan itu betul semua anak-anaknya mampu menjadi orang yang berguna, atau setidak-tidaknya tidak menyusahkan orang lain.

Daku agak tidak peduli dengan maksud tersurat dan tersirat dengan  kata bidalan ini. Mampu memahami tetapi selagi tidak kena mengena dengan hidup daku, apa daku peduli? Kalian pun pasti terfikir sebegitu jua. Ceritanya bermula dengan belaan aku. Si singa bewarna kelabu yang daku tunggangi ke sana dan ke sini. Sememangnya telah daku semat dalam hati, beberapa perkara yang ingin daku lakukan setelah singa itu telah daku jinakkan.

Dan salah satu dari perkara tersebut adalah yang dilakukan oleh arwah ayahanda daku yang kini daku teruskan. Sememangnya aktiviti melawat pusara atau kubur bukan termasuk dalam aktiviti riadah kebiasaan masyarakat kini. Jika tidak disebabkan kedatangan raya atau sesuatu terjadi kepada kubur itu, pastinya keinginan untuk ke kubur tidak sekali terlintas di fikiran.

Prinsip hidup daku senang sahaja, berfikiran positif terhadap semua orang walau bagaimana seseorang itu semasa dan selepas hidup. Kita hanya mampu berbicara mengenai kebaikan dan keburukan seseorang itu, namun hukuman itu tidak sekali-kali terletak pada tangan kita, lebihlebih lagi untuk mengatakan seseorang itu jahat.

Seteruk-teruk dan sehina-hina orang tua kita, walau benci bagaimanapun kita terhadap mereka, ingatlah satu jasa mereka terhadap kita yang sebenarnya cukup beharga untuk kita berterima kasih sepanjang hayat kita; Membawa kita ke dunia yang fana ini.

Justeru itu, semasa mereka masih hidup, berilah mereka kehidupan yang baik, yang sepatutnya untuk semua manusia. Dan sesudah mereka meninggal dunia, sedekahlah doa tidak terhingga kepada mereka, jagalah maruah dan air muka mereka yang di wakili kita, dan bagi daku jagalah kubur mereka, sepertimana mereka pernah menjaga kita dari kecil hingga besar panjang.

Hasil keringat dan percik peluh penjaga kubur tidak sama dengan keringat dan percik peluh anak sendiri. Tidak guna serata dunia telah di jejaki, semua pandangan telah di lihati tetapi pusara tidak seberapa ibu dan bapa terbiar semak samun seperti tidak keturunan yang di tinggalkan di dunai ini.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

MAAF ZAHIR SAHAJA.

 

Ikhlas dari penulis keramatKL.

Terima Kasih Kerana Membaca.

 

 

Samak dan siba bi

Salam hari cuti buruh.

Kali ini daku ingin mengambil iktibar dan idea dari blog rakan daku, cik narami atau rose. Beliau banyak bercerita mengenai tempat kerja beliau dan daku juga tidak ketinggalan ingin bercerita mengenai tempat kerja daku juga. Mana boleh kalah.

Jadi daku bekerja sebagai pembantu teknikal makmal di sebuah makmal persendirian. Bidang daku pula tertumpu kepada menganalisis segala sampel makanan, aspek industri dan alam sekitar yang diterima secara rasmi untuk fizikal, kimia, radiasi dan parameter mikrobiologi bagi memastikan segala akta dan undang-undang malaysia serta mana-mana negara dipatuhi.

Ini adalah contoh fakta nutrisi, yang menyatakan kandungan mengikut peratus dan gram yang terkandung dalam makanan. Secara asas kami akan menganalisa sampel dan memastikan betulkah peratusn nutrisi itu lebih kurang sama atau jauh berbeza dengan di nyatakan.

Dan apabila daku mengatakan mengenai sampel, ia bermakna terdapat pelbagai jenis sampel, dari makanan ke bukan makanan, tanah sehingga air, pelbagai jenis haiwan halal dan haram. Dan daku ingin mejurus kepada lembu berkaki pendek, si babi.

Contoh rupa fizikal siba bi ini.

Makmal yang daku bekerja ini ada mengambil sampel babi serta berkaitan babi. Dari aspek mentaliti seorang Islam yang sempit pasti mengatakan tidak mahu berurusan dengan haiwan yang di haramkan dalam Islam ini. Alasan ini di gunakan mungkin samada kerana tidak mahu susah selepas mengendalikan haiwan ini (malas) atau tidak pernah menghadapi situasi seperti ini dan mahu terus tidak pernah menghadapi serta mengendali haiwan haram ini.

Jadi pada suatu pagi yang hening, daku seperti kebiasannya akan membawa beberapa peralatan makmal untuk di cuci. Bukan daku yang mencuci tetapi ada beberapa pekerja am yang di tugaskan untuk mencuci dan daku perlu membawa kepada mereka, jadi begitulah tugasan setiap pagi daku.

Setelah selesai mencuci beberapa peralatan penting, daku memberitahu kepada mereka tentang kewujudan sampel mengandungi babi itu dan dengan mulut seorang dari mereka memberitahu keengganan untuk menyamak sampel babi itu. Untuk pengetahuan, sebelum ini ada seorang yang daku panggil “mak cik” yang menguruskan proses samak ini.

Daku agak terkaget mendengar alasan mereka. memanglah, daku pertama kali di minta untuk menyamak pun berada di antara serba salah dan tidak mahu.Namun memikirkan tanggungjawab daku sebagai lelaki, bakal ketua keluarga suatu hari nanti dan sebagai Islam. Daku membuka hati untuk belajar samak, mempraktikkan dan menguasai ilmu tentang samak.

Ini membawa daku kepada beberapa persoalan. Babi itu haram kepada seluruh penganut  agama Islam. Kita tidak di benarkan dengan sengaja memegang babi itu sendiri atau segala yang berkaitan dengan babi itu sendiri. Walaubagaimanapun, jika terkena kita wajib samak. 

Dan dari situ daku terfikir; seperti daku uang tinggal di dalam sebuah negara, negeri daerah dan perumahan yang majoriti muslimin dan muslimat, pada awalnya tidak terfikir mengapa harus daku belajar samak, belajar pun hanya untuk lulus KAFA sekolah dahulu.

Namun apabila daku mengambil keputusan untuk mengambil jurusan makanan dan mengambil langkah untuk keluar dari kepompong lingkungan melayu, daku tahu isu halal dan haram akan mengundang masalah kepada daku lambat laun nanti. Isu yang kecil sehinggalah besar pasti akan daku hadapi meminta penyelesaian.

Seperti dilema yang daku lalui kini. Daku boleh ambil keputusan untuk berhenti kerja sahaja, ataupun memaksa mereka pekerja am untuk belajar samak, ataupun meminta orang lain untuk buat samak itu. Tetapi tu semua hanya lari dari membuat keputusan sepatutnya. Isu-isu berkaitan agama adalah subjektif dan tidak tertakluk kepada keputusan yang sama.

Asas bagi Islam adalah sama, namun pastinya setiap Islam akan memandang dari sudut berlainan, berbelah bagi antara dosa yang terpaksa di hadap dengan rezeki yang perlu di cari. Dn daku yang tiada masa dan pilihan terpaksa membawa perkara ini kepada pihak atasan. Mereka pastinya dimarah dan dipaksa untuk samak.

Hati murni daku ini sedikit tergerak untuk kasihani mereka, mahu bantu mereka tetapi sampai bila? daku pun ada kerja juga, dan itu adalah kerja mereka. Sungguhpun babi itu adalah haram bagi umat Islam tetapi oleh kerana kerja adalah ibadah dan wujudnya samak untuk mensucikan peralatan & anggota badan. Bagi daku di bolehkan kerana ALLAH swt.

Terima Kasih Kerana Membaca.