Realistik versus Islamik


Salam hari Sabtu.

Kadangkala daku terfikirkan mengenai pendirian daku. Adakah daku seorang yang realistik ataupun lebih percayakan Islamik. Adakah daku membuat keputusaan berdasarkan percayakan benda yang daku sendiri nampak atau boleh bayangkan akibatnya? Ataupun daku berusaha sehabis baik dan berserah kepada qada dan qada’ serta ketentuan dariNya. 

Daku akui yang iman daku senipis helaian bawang besar. Nampak besar dan teguh. Di tambah dengan pembebasan asid Sulfenik mengakibatkan kita menitiskan air mata, namun hakikatnya bawang itu terdiri dari helaian nipis  dan rapuh. Begitulah iman daku.

Dan kerana daku mempunyai iman yang nipis sebegini, daku cenderung untuk lebih bersifat realistik. Membuat keputusan untuk mempengaruhi tindakan dan masa hadapan daku berdasarkan apa yang daku lihat. Sungguh dengkel sifatku ini, seolah-olah membelakangkan agama dan melebihkan dunia.

Namun sebahagian sifat akhir dalam bersifat realistik daku ini adalah adakalanya dan ada juga selalunya daku pasti berdoa dan berserah padaNya setelah mendapat keputusan. Pastinya dalam kedua-dua sifat daku ini terletak pada kuasaNya. Baik dan buruk keputusan pasti ada sebab dan munasabab.

Pernah di zaman daku belajar dahulu, aku seringkali memerhatikan cara dan teknik rakan sekuliah daku belajar. Apa yang dilakukan seharian waktu mereka termasuk ulangkaji pelajaran mereka dan hasilnya pada setiap semester. 

Daku tertarik pada seorang pelajar tabligh ini, seharian beribadat kepada Allah swt, hujung minggu dihabiskan di masjid dan surau serta madrasah. Mengantuk sentiasa terpampang di wajahnya. Namun paling daku terkejut markahnya sentiasa cemerlang saban semester dan jika difikirkan dengan cara hidup beliau, daku sendiri pasti mengalah awal-awal lagi. 

Pernah daku datang ke biliknya dan bertanyakan teknik belajarnya, dengan tenang dan lemah-lembut beliau berkata seharian beliau ulang kaji dua jam sahaja, selain dari waktu belajar di kuliah dan kelas. Selebihnya doa tidak putus-putus kepada Allah mengharap yang terbaik untuk diriNya. 

Segala yang wajib sentiasa di lakukan, yang wajib pula bagaikan fardhu di atas dirinya. Solat lima waktu, tambah lagi solat sunat, menjaga makan dan minum, adab dan tertib, sunnah nabi. Semuanya menjadi perkara wajib atas dirinya. Sedangkan duniawi lain yang menjadi perkara wajib manusia lain jug daku sehingga alpa dengan apa yang sepatutnya.

Sesungguhnya daku lemah dan kurang keyakinan terhadapNya. Daku tidak dan kurang mencuba segala yang di perintahkan terhadap sekelian hambaNya. Nah bagaimana pula doa daku di makbulkan sedangkan daku tidak melakukan apa yang di perintahkan. Hamba mana dimakbulkan permintaan jika tidak menurut perintah?

Daku tidak sepenuhnya percayakan qada dan qada’ dariNya. Berharap dan bersabar bukanlah sifat terbaik dalam diri daku. Duduk menunggu dan menerima telah lama daku tinggalkan sedangkan bertindak mengkhinzir buta serta menebalkan muka yang daku suka lakukan jarang sekali membuahkan hasil yang daku harapkan.

Kecintaan daku terhadap dunia seringkali membuaikan daku lebih jauh lagi ke dalam dunia ciptaan daku yang plastik belaka. Dunia tidak pernah menjanjikan kebahagian berpanjangan kepadaku dan masih lagi daku mengharapkan sedangkan akhirat yang pasti daku masih abaikan. Ini tidak betul. Daku harus berubah, walaupun baru selangkah.

Terima Kasih Kerana Membaca.

Leave a comment