Tag Archives: dalam makanan

Samak dan siba bi

Salam hari cuti buruh.

Kali ini daku ingin mengambil iktibar dan idea dari blog rakan daku, cik narami atau rose. Beliau banyak bercerita mengenai tempat kerja beliau dan daku juga tidak ketinggalan ingin bercerita mengenai tempat kerja daku juga. Mana boleh kalah.

Jadi daku bekerja sebagai pembantu teknikal makmal di sebuah makmal persendirian. Bidang daku pula tertumpu kepada menganalisis segala sampel makanan, aspek industri dan alam sekitar yang diterima secara rasmi untuk fizikal, kimia, radiasi dan parameter mikrobiologi bagi memastikan segala akta dan undang-undang malaysia serta mana-mana negara dipatuhi.

Ini adalah contoh fakta nutrisi, yang menyatakan kandungan mengikut peratus dan gram yang terkandung dalam makanan. Secara asas kami akan menganalisa sampel dan memastikan betulkah peratusn nutrisi itu lebih kurang sama atau jauh berbeza dengan di nyatakan.

Dan apabila daku mengatakan mengenai sampel, ia bermakna terdapat pelbagai jenis sampel, dari makanan ke bukan makanan, tanah sehingga air, pelbagai jenis haiwan halal dan haram. Dan daku ingin mejurus kepada lembu berkaki pendek, si babi.

Contoh rupa fizikal siba bi ini.

Makmal yang daku bekerja ini ada mengambil sampel babi serta berkaitan babi. Dari aspek mentaliti seorang Islam yang sempit pasti mengatakan tidak mahu berurusan dengan haiwan yang di haramkan dalam Islam ini. Alasan ini di gunakan mungkin samada kerana tidak mahu susah selepas mengendalikan haiwan ini (malas) atau tidak pernah menghadapi situasi seperti ini dan mahu terus tidak pernah menghadapi serta mengendali haiwan haram ini.

Jadi pada suatu pagi yang hening, daku seperti kebiasannya akan membawa beberapa peralatan makmal untuk di cuci. Bukan daku yang mencuci tetapi ada beberapa pekerja am yang di tugaskan untuk mencuci dan daku perlu membawa kepada mereka, jadi begitulah tugasan setiap pagi daku.

Setelah selesai mencuci beberapa peralatan penting, daku memberitahu kepada mereka tentang kewujudan sampel mengandungi babi itu dan dengan mulut seorang dari mereka memberitahu keengganan untuk menyamak sampel babi itu. Untuk pengetahuan, sebelum ini ada seorang yang daku panggil “mak cik” yang menguruskan proses samak ini.

Daku agak terkaget mendengar alasan mereka. memanglah, daku pertama kali di minta untuk menyamak pun berada di antara serba salah dan tidak mahu.Namun memikirkan tanggungjawab daku sebagai lelaki, bakal ketua keluarga suatu hari nanti dan sebagai Islam. Daku membuka hati untuk belajar samak, mempraktikkan dan menguasai ilmu tentang samak.

Ini membawa daku kepada beberapa persoalan. Babi itu haram kepada seluruh penganut  agama Islam. Kita tidak di benarkan dengan sengaja memegang babi itu sendiri atau segala yang berkaitan dengan babi itu sendiri. Walaubagaimanapun, jika terkena kita wajib samak. 

Dan dari situ daku terfikir; seperti daku uang tinggal di dalam sebuah negara, negeri daerah dan perumahan yang majoriti muslimin dan muslimat, pada awalnya tidak terfikir mengapa harus daku belajar samak, belajar pun hanya untuk lulus KAFA sekolah dahulu.

Namun apabila daku mengambil keputusan untuk mengambil jurusan makanan dan mengambil langkah untuk keluar dari kepompong lingkungan melayu, daku tahu isu halal dan haram akan mengundang masalah kepada daku lambat laun nanti. Isu yang kecil sehinggalah besar pasti akan daku hadapi meminta penyelesaian.

Seperti dilema yang daku lalui kini. Daku boleh ambil keputusan untuk berhenti kerja sahaja, ataupun memaksa mereka pekerja am untuk belajar samak, ataupun meminta orang lain untuk buat samak itu. Tetapi tu semua hanya lari dari membuat keputusan sepatutnya. Isu-isu berkaitan agama adalah subjektif dan tidak tertakluk kepada keputusan yang sama.

Asas bagi Islam adalah sama, namun pastinya setiap Islam akan memandang dari sudut berlainan, berbelah bagi antara dosa yang terpaksa di hadap dengan rezeki yang perlu di cari. Dn daku yang tiada masa dan pilihan terpaksa membawa perkara ini kepada pihak atasan. Mereka pastinya dimarah dan dipaksa untuk samak.

Hati murni daku ini sedikit tergerak untuk kasihani mereka, mahu bantu mereka tetapi sampai bila? daku pun ada kerja juga, dan itu adalah kerja mereka. Sungguhpun babi itu adalah haram bagi umat Islam tetapi oleh kerana kerja adalah ibadah dan wujudnya samak untuk mensucikan peralatan & anggota badan. Bagi daku di bolehkan kerana ALLAH swt.

Terima Kasih Kerana Membaca.